Panglima angkatan tentera Kemboja dan Malaysia pada Khamis berikrar untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan bagi memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan rantau itu, menurut berita Xinhua memetik siaran akhbar Angkatan Tentera Diraja Kemboja (RCAF).
Komitmen itu dibuat semasa rundingan dua hala antara Panglima Tertinggi RCAF, Vong Pisen dan panglima angkatan tentera Malaysia yang sedang berkunjung, Tan Sri Malek Razak Sulaiman, Xinhua memetik siaran akhbar.
Kedua-dua pihak bersetuju, kerjasama ketenteraan Kemboja-Malaysia yang kukuh akan membantu mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran untuk kedua-dua negara dan rantau ASEAN, kata siaran akhbar itu, lapor Xinhua.
Menurut Xinhua, Pisen berkata lawatan Malek Razak adalah penting untuk mengukuhkan hubungan ketenteraan dan menghargai peranan Malaysia dalam menjadi pengantara konflik sempadan Kemboja-Thailand dan inisiatifnya untuk menubuhkan Pasukan Pemerhati ASEAN.
Pisen mengesahkan semula komitmen Kemboja untuk menyelesaikan isu sempadan secara aman mengikut undang-undang antarabangsa dan perjanjian sedia ada, menolak sebarang penggunaan kekerasan untuk mengubah sempadan.
Menurut Xinhua, Malek Razak berkata Malaysia amat menyokong penyelesaian pertikaian antara Kemboja dan Thailand melalui dialog di bawah Jawatankuasa Sempadan Am atau mekanisme Suruhanjaya Sempadan Bersama, berdasarkan prinsip sentraliti ASEAN.
Malek Razak tiba di Kemboja pada Rabu untuk lawatan empat hari.
