Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam serangan udara terbaharu oleh Pakistan di tiga wilayah Afghanistan, menurut berita Anadolu memetik kenyataan pegawai di Kabul pada Khamis.
Serangan itu dilaporkan berlaku di wilayah Kandahar, Paktia, dan Khost, menurut jurucakap kerajaan Afghanistan, Zabihullah Mujahid, lapor Anadolu.
Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar, berkata Islamabad telah melancarkan serangan udara dan dron yang berketepatan terhadap 10 lokasi di Afghanistan selepas mengesan dan melumpuhkan dron yang dilancarkan dari wilayah Afghanistan, lapor Anadolu.
Tarar berkata pencerobohan dron ke dalam wilayah Pakistan itu berlaku pada Rabu, menyifatkannya sebagai “pelanggaran terang-terangan” terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Pakistan.
Menurut Anadolu, sumber keselamatan Pakistan memaklumkan pada Rabu bahawa sekurang-kurangnya lapan dron telah dilumpuhkan dekat sempadan Torkham dan di kawasan Kohat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa yang bersempadan dengan Afghanistan.
Sistem pertahanan udara Pakistan mengesan, menjejak, dan melumpuhkan semua dron terbabit sebelum ia sampai ke sasaran dituju, kata Tarar.
“Dalam melaksanakan hak berdaulat untuk mempertahankan diri, Pakistan melancarkan serangan udara dan dron berketepatan terhadap 10 lokasi di Afghanistan yang digunakan untuk melancar dan menyimpan dron-dron ini,” katanya.
Ini merupakan kali kedua minggu ini Pakistan melancarkan serangan udara di dalam wilayah Afghanistan, selepas tiga orang terbunuh di Kunar pada Isnin, menurut Kabul, lapor Anadolu.


