Angka kematian akibat insiden KM Virgo Transport 8 karam di Laut Jawa, Indonesia meningkat kepada 42 orang selepas pasukan mencari dan menyelamat menemui 14 lagi mayat di dalam vesel itu, menurut berita Anadolu memetik laporan media pada Khamis.
Mangsa ditemui semasa operasi menyelam di dalam bangkai vesel itu, menurut Anadolu memetik agensi berita Antara, memetik kenyataan Mohammad Syafii, ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (SAR) atau Basarnas.
“Usaha pasukan SAR gabungan sekali lagi membuahkan hasil,” kata Syafii.
Dilaporkan, sehingga Khamis, pihak berkuasa telah menemui 150 orang daripada senarai penumpang vesel terbabit.
Daripada jumlah itu, 108 orang dilaporkan terselamat manakala 42 orang disahkan meninggal dunia.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan 93 orang hilang, menurut angka terkini, lapor Anadolu.

