Angka kematian dalam kalangan anggota tentera Kazakhstan yang dihanyutkan ke laut semasa latihan ketenteraan laut di Laut Caspian mencecah 12 orang, menurut berita Anadolu memetik pihak berkuasa wilayah Mangystau, Kazakhstan pada Khamis.
“Menurut data terkini, semasa melaksanakan tugas latihan tempur, akibat keadaan cuaca yang merosot secara mendadak dan angin yang bertambah kencang, 17 orang telah dihanyutkan ke laut; 12 daripadanya meninggal dunia dan tiga berjaya diselamatkan. Usaha mencari dua lagi anggota tentera masih diteruskan,” menurut kenyataan itu, lapor Anadolu.
Kementerian Pertahanan sebelum ini dilapor berkata, anggota tentera terbabit meninggal dunia semasa menjalankan misi latihan tempur di wilayah barat daya Mangystau, dengan insiden itu berlaku susulan “kemerosotan keadaan cuaca secara tiba-tiba dan angin yang semakin kencang”.

