Empat orang maut dan lapan yang lain mengalami kecederaan dalam kejadian tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan monsun berterusan di daerah Jajarkot barat Nepal, menurut berita Xinhua memetik tentera Nepal pada Ahad.
Nur
-
15 terbunuh, 32 cedera trak pikap terbalik di Ismailia, Mesir
Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 32 yang lain cedera selepas sebuah trak pikap yang membawa pekerja terbalik di kegabenoran Ismailia timur laut Mesir, menurut berita Xinhua memetik Kementerian Kesihatan Mesir pada Selasa.
Kementerian itu dilapor berkata, angka itu adalah awal, sambil menambah bahawa mereka yang cedera telah dipindahkan ke hospital berdekatan untuk rawatan perubatan.
-
Jumlah kematian akibat gempa bumi Colombia meningkat kepada 132, lebih 570 cedera
Jumlah kematian akibat gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda barat Colombia pada Isnin meningkat kepada 132, dengan lebih 570 yang lain cedera, menurut berita Xinhua memetik kerajaan Colombia dalam kemas kini terbarunya.
Menurut laporan awal, 32 bandar di seluruh negara terjejas teruk, manakala lima ibu kota jabatan – Pereira, Cali, Quibdo, Manizales dan Armenia – kekal di bawah amaran merah. Pereira melaporkan 60 kematian, diikuti oleh Cali dengan 15, Quibdo dengan lapan dan Manizales dengan empat, Xinhua memetik laporan itu.
Sebanyak 86 bangunan runtuh, manakala operasi di tujuh lapangan terbang telah digantung akibat kerosakan berkaitan gempa bumi.
Presiden Colombia Abelardo de la Espriella dilapor berkata sebelum ini bahawa kerajaan telah mengisytiharkan keadaan bencana kebangsaan untuk tindak balas terhadap kesan gempa bumi.
Xinhua melaporkan, menurut Perkhidmatan Geologi Colombia, gempa bumi itu berlaku pada jam 7:34 pagi waktu tempatan pada Isnin. Pusat gempanya berhampiran San Jose del Palmar, di jabatan Choco, pada kedalaman 96 km.
-
Taufan Dolphin landa utara Taiwan, 6 cedera
Taufan Dolphin melanda perairan utara Taiwan pada Ahad, mencetuskan ratusan insiden berkaitan ribut dan menyebabkan enam orang cedera, menurut berita Xinhua.
Sehingga jam 2 petang Ahad, 632 insiden dilaporkan di seluruh Taiwan, menurut pusat tindak balas bencana tempatan.
Insiden itu termasuk pokok tumbang, kerosakan jalan raya dan terowong, kontena perkapalan runtuh dan runtuhan batu di sepanjang lebuh raya.
-
2 maut bot terbalik di Pelabuhan New York
Sebuah bot bermotor terbalik di perairan dekat Pulau Liberty di Pelabuhan New York pada malam Sabtu, menyebabkan dua orang maut, menurut berita Xinhua memetik laporan media AS.
Seramai 14 orang dikeluarkan dari perairan, lapor Xinhua, seorang wanita berusia 27 tahun dan seorang kanak-kanak berusia lima bulan kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital.
12 mangsa lain dalam keadaan stabil di hospital di kawasan itu. Tiada bot lain dipercayai terlibat dalam kejadian itu, Xinhua memetik Jabatan Polis New York pada Ahad.
-
11 maut tembakan di Cape Town, Afrika Selatan
Sebelas orang terbunuh dalam tiga kejadian tembakan berasingan di Cape Town, Afrika Selatan, dari petang Sabtu hingga awal pagi Ahad, menurut berita Xinhua memetik polis tempatan pada Ahad.
“Detektif Unit Jenayah Keganasan Berat Wilayah sedang menyiasat tiga kejadian tembakan berasingan di Langa, Gugulethu, dan Khayelitsha selepas 11 orang ditembak dan dibunuh semalaman,” kata Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS) di Wilayah Western Cape dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.
Ketiga-tiga pekan itu terletak di Cape Flats, sebuah kawasan luas dan rendah di tenggara dan timur tengah Cape Town yang telah lama dibelenggu keganasan berkaitan geng.
Di Khayelitsha, tiga lelaki berumur 25, 31, dan 35 ditembak mati kira-kira jam 10:50 malam waktu tempatan pada Sabtu, kata polis, menurut Xinhua.
Sementara itu, empat lelaki dan seorang wanita terbunuh dalam kejadian tembakan kira-kira jam 10:45 malam waktu tempatan di Langa.Dalam kejadian ketiga, dua lelaki dan seorang wanita ditembak mati kira-kira jam 4:10 pagi waktu tempatan pada Ahad di Gugulethu, manakala dua orang lagi cedera, lapor Xinhua memetik polis.
-
Dua kereta api berlanggar di timur Zagreb, 20 cedera
Sebuah kereta api penumpang dan sebuah kereta api barang berlanggar pada pagi Sabtu dekat Skrinjari, kira-kira 60 kilometer di timur ibu kota Croatia, Zagreb, menyebabkan enam penumpang parah dan 14 yang lain cedera ringan, menurut berita Xinhua.
Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 10:05 pagi waktu tempatan (0805 GMT) di bahagian landasan di antara stesen Sveti Ivan Zabno dan Gradec, menurut penyiar kebangsaan Croatian Radiotelevision (HRT), lapor Xinhua.
Terdapat 28 orang di dalam kereta api penumpang ketika perlanggaran itu berlaku, membabitkan 26 penumpang, seorang pemandu kereta api dan seorang konduktor.
-
Juruterbang terbunuh apabila pesawat terhempas di selatan Portugal
Seorang juruterbang terbunuh pada pagi Sabtu apabila sebuah pesawat ringan terhempas di lapangan terbang Portimao di daerah selatan Faro di Portugal, menurut pihak berkuasa perlindungan awam dipetik oleh agensi berita Lusa, lapor Xinhua.
Mangsa, seorang lelaki berusia 28 tahun, adalah satu-satunya yang berada di dalam pesawat itu. Tiada korban lain dilaporkan.
Menurut Xinhua, sumber aeronautik dipetik sebagai berkata juruterbang itu sedang menjalankan kerja udara apabila nahas itu berlaku.
-
Sekurang-kurangnya 20 maut dalam nahas lori tangki di Republik Afrika Tengah
Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera pada petang Jumaat apabila sebuah lori tangki diesel terbalik di barat daya Bangui, ibu negara Republik Afrika Tengah, menurut berita Xinhua.
Pegawai belum mengesahkan jumlah kematian muktamad, tetapi jumlah sementara adalah 20 orang, dengan beberapa yang lain cedera dan dibawa ke hospital di Bangui untuk rawatan, lapor Xinhua.
-
Jumlah kematian akibat tembakan di Thailand meningkat kepada sembilan orang
Bilangan mangsa maut kejadian tembakan di wilayah Nonthaburi, di utara Bangkok dilapor meningkat kepada sembilan orang, termasuk penyerang itu sendiri.
Menurut berita TASS, walaupun terdapat usaha doktor, seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah dialami.
Seorang remaja berusia 14 tahun bersenjata dilapor melepaskan tembakan di sekolah pada Jumaat, membunuh lima orang guru, dan selepas itu dia membunuh diri.
Menurut berita TASS, polis juga menganggap datuk dan neneknya sebagai mangsa kejadian itu, kerana dia menembak mereka sebelum pergi ke institusi pendidikan terbabit.
Seramai 23 orang cedera dalam kejadian tembakan itu, 13 daripadanya masih menerima rawatan pesakit dalam, lapor TASS.
