Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata pada Rabu bahawa Ukraine tidak menerima amaran awal daripada sekutu Baratnya sebelum peluru berpandu balistik Rusia melanda ibu negara Ukraine, Kiev, pada malam Selasa, menandakan kejadian kedua seumpamanya pada minggu ini, lapor berita Xinhua.
Seorang terbunuh dan enam yang lain cedera selepas serangan itu merosakkan sebuah bangunan kediaman, kata Zelensky dalam satu hantaran di Facebook, menurut Xinhua.
Satu daripada loji janakuasa utama Kiev turut menjadi sasaran, katanya.
Presiden AS Donald Trump mengumumkan pada hujung minggu bahawa Rusia dan Ukraine telah bersetuju untuk melaksanakan “gencatan senjata tenaga”, lapor Xinhua, Zelensky kemudian berkata “jika pihak Rusia bersetuju dengan gencatan senjata tenaga, Ukraine akan bersetuju”.
Trump dilapor memberitahu pemberita pada Selasa bahawa Washington masih berkongsi risikan dengan Ukraine dan bekerjasama dengan kedua-dua pihak, Kiev dan Moscow, untuk menamatkan perang.
“Kami membantu mereka, dan kami berkongsi risikan.”
Letupan kedengaran lagi di Kiev pada awal Rabu ketika Rusia melancarkan peluru berpandu balistik ke arah bandar itu, lapor agensi berita Ukrinform — menurut Xinhua.
