Polis Jerman kenal pasti 3 warga India maut dalam kebakaran di Bochum

Polis Jerman mengenal pasti tiga warga India yang maut dalam satu kebakaran awal Selasa di sebuah bangunan pangsapuri berbilang keluarga di Bochum, dan menahan seorang penghuni bangunan itu yang berusia 41 tahun buat sementara waktu, lapor berita Anadolu.

Pihak berkuasa berkata pada Rabu bahawa mangsa terdiri daripada dua wanita, masing-masing berusia 25 dan 27 tahun, serta seorang lelaki berusia 26 tahun, semuanya warga India.

Polis dan pihak pendakwa raya menolak kemungkinan kerosakan teknikal sebagai punca kebakaran itu susulan siasatan menyeluruh yang turut membabitkan pakar kebakaran.

Kenyataan itu menyebut hasil siasatan menimbulkan kecurigaan terhadap penghuni berusia 41 tahun itu. Dia telah ditahan buat sementara waktu dan telah disoal siasat oleh penyiasat daripada unit siasatan kes pembunuhan, menurut kenyataan itu. Siasatan lanjut sedang diteruskan di bawah arahan pejabat pendakwa raya Bochum dan dikendalikan oleh unit siasatan kes pembunuhan, lapor Anadolu.