Empat orang cedera akibat serpihan yang jatuh di Riyadh selepas sistem pertahanan udara menembak jatuh peluru berpandu Houthi di ibu negara Arab Saudi itu, lapor Arab News.
Menurut Arab News, bunyi letupan kuat kedengaran di Riyadh sejurus sebelum tengah malam pada Selasa apabila sistem pertahanan udara Arab Saudi memintas sasaran musuh di ruang udara bandar itu.
Serpihan daripada dua peluru berpandu jelajah yang dipintas jatuh di sekitar 15 buah rumah kediaman dan mencederakan empat orang, menurut laporan Arab News memetik Pertahanan Awam Arab Saudi pada Rabu.
Mejar Jeneral Turki Al-Maliki, jurucakap gabungan dilapor berkata pada awal Rabu bahawa satu peluru berpandu jelajah telah dimusnahkan di kegabenoran Al-Kharj.
Arab Saudi dilapor menangani dengan beberapa serangan peluru berpandu balistik dan dron di seluruh negara itu pada Selasa.
Dilaporkan, peluru berpandu balistik dilancarkan ke arah Dhahran dan Haradh dihentikan oleh pihak berkuasa.
Menurut Arab News, Kementerian Tenaga berkata dalam satu kenyataan bahawa sebuah bangunan pentadbiran Saudi Aramco di Dhahran telah disasarkan, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Al-Maliki dilapor berkata pada lewat Selasa, bahawa tiga dron turut dimusnahkan di utara Riyadh.
Kerajaan Arab Saudi berikrar bahawa Houthi disokong oleh Iran akan berdepan akibat atas serangan berulang mereka terhadap negara itu.
Dalam sesi Kabinet dipengerusikan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, para menteri mengutuk tindakan Houthi dan berikrar untuk melindungi kebebasan pelayaran di Laut Merah serta Selat Bab Al-Mandab, yang telah diancam oleh kumpulan terbabit, menurut Arab News.
