Nur

  • 12 maut kebakaran hutan di selatan Sepanyol

    Dua belas orang terbunuh dalam kebakaran hutan besar yang berlaku pada petang Khamis di Los Gallardos, di wilayah Almeria di rantau selatan Sepanyol, Andalusia, menurut berita Xinhua memetik perkhidmatan kecemasan tempatan.

    Perkhidmatan Kecemasan 112 Andalusia dilapor berkata, ia menerima laporan pertama kebakaran itu sekitar jam 5 petang waktu tempatan pada Khamis. Disebabkan oleh suhu tinggi, kelembapan rendah dan angin kencang, kebakaran hutan itu merebak dengan cepat ke perbandaran Bedar yang berjiran.

    Menurut satu kenyataan rasmi, sesetengah mangsa ditemui di dalam kenderaan yang dilalap api, lapor Xinhua.

  • Bekas pemimpin tertinggi Iran dikebumikan di Mashhad

    Bekas pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, dikebumikan pada Jumaat di makam suci Imam Reza di bandar timur laut Mashhad, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita rasmi IRNA.

    Anak sulung Khamenei, Mostafa Khamenei, dilapor memimpin dan menunaikan solat jenazah sebelum bekas pemimpin itu dan ahli keluarganya yang terkorban dalam serangan yang sama dikebumikan.

    Perarakan pengebumian bermula pada jam 15:00 waktu tempatan (1130 GMT) pada Khamis ketika orang ramai mengiringi keranda di sepanjang laluan ke makam suci sambil berkumpul di sekitar kenderaan membawa mereka.

    Upacara berkabung selama beberapa hari untuk Khamenei bermula pada 3 Julai di Tehran, di mana ramai pegawai tinggi Iran dan asing memberi penghormatan terakhir kepadanya dalam satu upacara di dewan solat Mosalla Imam Khomeini.

    Ia diikuti dengan upacara perpisahan selama dua hari di tempat yang sama pada hujung minggu, dan pada Isnin, perarakan pengebumian diadakan di Tehran yang dihadiri oleh orang ramai dari seluruh negara.

    Pada Selasa, satu upacara pengebumian diadakan di bandar tengah Iran, Qom, diikuti dengan upacara berkabung di bandar-bandar Najaf dan Karbala di Iraq pada keesokan harinya.

    Ali Khamenei berkhidmat sebagai pemimpin tertinggi Iran selama hampir 37 tahun. Dia maut dalam serangan AS-Israel pada 28 Februari, lapor Xinhua, anak lelakinya, Mojtaba Khamenei, dipilih sebagai pemimpin tertinggi Iran yang baharu pada Mac.

  • 2 maut tembakan dekat tapak pengebumian bekas pemimpin tertinggi Iran di bandar Mashhad

    Dua orang terbunuh pada malam Khamis dalam insiden tembakan di bandar Mashhad, timur laut Iran, 17 km dari makam suci Imam Reza, tempat bekas pemimpin agung Iran Ali Khamenei akan dikebumikan, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita rasmi IRNA awal Jumaat.

    Insiden itu berlaku sekitar jam 22:00 waktu tempatan (1830 GMT) di kawasan kejiranan Sarafrazan, IRNA memetik Amirollah Shamaqdari, timbalan gabenor wilayah Khorasan Razavi untuk hal ehwal keselamatan, menurut Xinhua.

    Punca kejadian dan identiti mangsa masih tidak diketahui.

  • Angka maut tanah runtuh di Kerala meningkat kepada 6 orang di selatan India

    Jumlah kematian akibat tanah runtuh di negeri Kerala, selatan India meningkat kepada enam orang pada Khamis, menurut berita Anadolu memetik pegawai.

    Tanah runtuh itu berlaku pada Selasa di tapak projek terowong Anakkompoyil-Meppadi, yang bertujuan untuk menghubungkan daerah Wayanad dan Kozhikode di Kerala.

    Tiga mayat dikenal pasti sebagai pekerja migran, lapor Anadolu memetik Press Trust of India.

  • Angka maut gempa Venezuela baru-baru ini meningkat kepada 3,889

    Jumlah kematian akibat gempa bumi yang melanda Venezuela meningkat kepada 3,889, dengan 16,740 orang cedera, kata Presiden Dewan Nasional Venezuela, Jorge Rodriguez, pada Khamis, menurut berita Xinhua.

    Rodriguez berkata di media sosial bahawa dua gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 24 Jun juga menyebabkan 17,907 orang kehilangan tempat tinggal.

    Menurut angka rasmi terkini, 6,462 orang telah diselamatkan.

    Sejak gempa bumi itu, Venezuela telah mencatatkan 1,142 gegaran susulan.

  • Sekurang-kurangnya 28 maut kebakaran besar kilang kasut di Fujian, timur China

    Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh apabila kebakaran besar melanda sebuah kilang kasut di wilayah Fujian timur China pada Khamis, menurut berita Anadolu memetik South China Morning Post.

    Kebakaran itu dilaporkan berlaku di kilang Kasut Huiteng di Jalan Kaituo Timur di kampung Jiangtou di pekan Chendai, Jinjiang.

    Dilaporkan, rakaman tersebar di media sosial menunjukkan api gergasi dan asap hitam tebal berkepul-kepul dari bangunan itu, dengan beberapa orang terperangkap di atas bumbung memberi isyarat meminta bantuan.

    Presiden Xi Jinping mengarahkan usaha “habis-habisan” untuk menyelamatkan serta merawat mangsa dan menyiasat, menurut Anadolu.

  • 5 sekeluarga maut kebakaran disebabkan gas bocor di Mesir

    Lima ahli keluarga yang sama terbunuh dalam kebakaran sebuah apartmen yang disebabkan oleh kebocoran gas di wilayah Giza, barat ibu negara Mesir, Kaherah, menurut berita Xinhua memetik laporan laman web berita kerajaan Al-Ahram pada Khamis.

    Siasatan awal menunjukkan kebocoran itu mencetuskan kebakaran di dalam sebuah apartmen tingkat tujuh di daerah Omraniya, membunuh seorang nenek, anak perempuannya, dan tiga cucunya, Xinhua memetik laporan itu.

    Nenek itu ditemui mati di dalam apartmen yang terbakar itu, manakala anak perempuan dan tiga cucunya meninggal dunia selepas melompat dari tingkat tujuh dalam percubaan untuk melarikan diri daripada api, menurut pemeriksaan awal.

    Pasukan perlindungan awam dan ambulans dilapor bergegas ke tempat kejadian susulan laporan kecemasan dan kebakaran itu dikawal.

  • 2 maut, yang lain hilang bot terbakar di Tasik Victoria, Tanzania

    Dua orang disahkan maut, sekurang-kurangnya dua yang lain tidak dapat dikesan, dan 50 orang diselamatkan selepas sebuah bot penumpang dan kargo terbakar di Tasik Victoria di barat laut Tanzania awal Khamis, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa.

    Kejadian itu berlaku di daerah Ukerewe, wilayah Mwanza, ketika vesel itu dalam perjalanan dari Pulau Gozba di wilayah Kagera ke Mwanza, menurut Komander Pasukan Bomba dan Penyelamat Tanzania untuk wilayah Mwanza, Elisa Mugisha, lapor Xinhua.

    Mugisha berkata, mangsa yang maut ialah seorang budak lelaki berusia kira-kira 10 tahun dan seorang lelaki berusia 60 tahun.

    “Mereka yang terselamat tanpa kecederaan fizikal tetapi berada dalam keadaan terkejut dan dibawa ke kemudahan kesihatan di Bwiro dan Lyamwenge untuk rawatan,” katanya.

    Pasukan penyelamat masih mengesahkan bilangan penumpang, yang pada mulanya dilaporkan sebagai 52 orang, dengan sekurang-kurangnya dua orang tidak dapat dikesan, katanya.

    Mugisha memberi amaran bahawa bilangan penumpang mungkin lebih tinggi. Kebakaran itu memusnahkan bot sepenuhnya, sementara angin kencang menghalang operasi menyelamat, katanya.

    Mugisha berkata usaha mencari sedang dijalankan dan siasatan akan dilancarkan untuk menentukan punca kebakaran sebaik sahaja operasi menyelamat selesai.

  • Tanah runtuh ragut 7 nyawa di tenggara Bangladesh

    Tanah runtuh akibat hujan di dua daerah tenggara Bangladesh pada malam Rabu dan awal pagi Khamis meragut sekurang-kurangnya tujuh nyawa dan memusnahkan sebilangan kediaman, menurut berita Xinhua.

    Dua kejadian tanah runtuh meragut lima nyawa di daerah Bandarban sahaja, kira-kira 316 km dari ibu kota Dhaka, apabila ketulan lumpur yang besar runtuh menimpa rumah mereka awal Khamis, seorang pegawai tempatan dilapor berkata.

    Selain mereka, mayat dua kanak-kanak dilaporkan ditemui di daerah Cox’s Bazar, kira-kira 400 km tenggara Dhaka selepas tanah runtuh pada malam Rabu.

    Tanah runtuh kerap berlaku di kawasan berbukit Bangladesh semasa monsun lebat yang biasanya berlangsung dari Jun hingga September, kerana tanah ditebang dengan banyak untuk menanam tanaman dan membina rumah.

  • 2 rakyat Palestin maut serangan Israel di Gaza

    Dua rakyat Palestin maut pada Khamis dalam serangan dron Israel ke atas sebuah rumah di barat Khan Younis di selatan Jalur Gaza, menurut berita Anadolu memetik sumber perubatan.

    Serangan itu dilapor berlaku di tengah-tengah pelanggaran berterusan Israel terhadap perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.

    Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Nasser selepas serangan itu menyasarkan halaman sebuah rumah di kawasan Batn al-Sameen, kata sumber perubatan, menurut Anadolu.

    Kementerian Kesihatan Gaza dilapor berkata, angka terkini menunjukkan pelanggaran gencatan senjata Israel telah membunuh 1,084 rakyat Palestin dan mencederakan 3,491 yang lain setakat Rabu.​​​​​​​

    Sejak bermulanya genosid Israel di Gaza pada 8 Oktober 2023, lebih 73,000 rakyat Palestin maut dan lebih 173,000 cedera, selain kemusnahan meluas menjejaskan kira-kira 90% infrastruktur awam, lapor Anadolu.