Bekas pemimpin tertinggi Iran dikebumikan di Mashhad

Bekas pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, dikebumikan pada Jumaat di makam suci Imam Reza di bandar timur laut Mashhad, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita rasmi IRNA.

Anak sulung Khamenei, Mostafa Khamenei, dilapor memimpin dan menunaikan solat jenazah sebelum bekas pemimpin itu dan ahli keluarganya yang terkorban dalam serangan yang sama dikebumikan.

Perarakan pengebumian bermula pada jam 15:00 waktu tempatan (1130 GMT) pada Khamis ketika orang ramai mengiringi keranda di sepanjang laluan ke makam suci sambil berkumpul di sekitar kenderaan membawa mereka.

Upacara berkabung selama beberapa hari untuk Khamenei bermula pada 3 Julai di Tehran, di mana ramai pegawai tinggi Iran dan asing memberi penghormatan terakhir kepadanya dalam satu upacara di dewan solat Mosalla Imam Khomeini.

Ia diikuti dengan upacara perpisahan selama dua hari di tempat yang sama pada hujung minggu, dan pada Isnin, perarakan pengebumian diadakan di Tehran yang dihadiri oleh orang ramai dari seluruh negara.

Pada Selasa, satu upacara pengebumian diadakan di bandar tengah Iran, Qom, diikuti dengan upacara berkabung di bandar-bandar Najaf dan Karbala di Iraq pada keesokan harinya.

Ali Khamenei berkhidmat sebagai pemimpin tertinggi Iran selama hampir 37 tahun. Dia maut dalam serangan AS-Israel pada 28 Februari, lapor Xinhua, anak lelakinya, Mojtaba Khamenei, dipilih sebagai pemimpin tertinggi Iran yang baharu pada Mac.