Lima ahli keluarga yang sama terbunuh dalam kebakaran sebuah apartmen yang disebabkan oleh kebocoran gas di wilayah Giza, barat ibu negara Mesir, Kaherah, menurut berita Xinhua memetik laporan laman web berita kerajaan Al-Ahram pada Khamis.
Siasatan awal menunjukkan kebocoran itu mencetuskan kebakaran di dalam sebuah apartmen tingkat tujuh di daerah Omraniya, membunuh seorang nenek, anak perempuannya, dan tiga cucunya, Xinhua memetik laporan itu.
Nenek itu ditemui mati di dalam apartmen yang terbakar itu, manakala anak perempuan dan tiga cucunya meninggal dunia selepas melompat dari tingkat tujuh dalam percubaan untuk melarikan diri daripada api, menurut pemeriksaan awal.
Pasukan perlindungan awam dan ambulans dilapor bergegas ke tempat kejadian susulan laporan kecemasan dan kebakaran itu dikawal.

