GLOBAL

  • Sekurang-kurangnya 17 terbunuh dalam serangan udara Arab Saudi di seluruh Yaman

    Kumpulan Houthi Yaman berkata pada Selasa bahawa pesawat perang Arab Saudi melancarkan 19 serangan udara di tiga wilayah Yaman dalam tempoh 24 jam lalu, manakala media kendalian Houthi melaporkan sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 11 cedera dalam serangan terbaharu itu, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, berkata dalam satu kenyataan di X bahawa serangan terbabit menyasarkan wilayah barat daya Taiz, wilayah utara Al-Jawf, dan wilayah timur laut Marib yang kaya dengan sumber minyak.

    Sarea berkata pesawat pejuang F-15 dan Typhoon milik Arab Saudi yang beroperasi dari pangkalan udara di Khamis Mushait dan Taif telah melancarkan serangan terbabit, mengakibatkan kematian dan kecederaan.

    Dia menambah bahawa serangan terbaharu itu menjadikan jumlah serangan udara dan peluru berpandu Arab Saudi yang dilaporkan oleh Houthi sejak peningkatan ketegangan semasa bermula mencecah 936, sambil memberi amaran bahawa Arab Saudi akan berdepan dengan akibat yang “buruk”.

    Bagaimanapun Xinhua melaporkan, angka-angka terbabit tidak dapat disahkan secara bebas.

    Menurut Xinhua, dalam perkembangan berasingan, media kendalian Houthi dan para pegawai berkata serangan dari malam Isnin hingga Selasa telah mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang dan mencederakan 11 yang lain.

    Abdul Qader al-Murtada, ketua jawatankuasa hal ehwal tahanan Houthi, dilapor berkata dalam satu kenyataan di X bahawa sembilan tahanan terbunuh apabila serangan udara Arab Saudi melanda sebuah penjara di Al-Hazm, ibu kota wilayah Al-Jawf, pada malam Isnin.

    Dalam satu lagi kejadian di Al-Jawf, saluran TV al-Masirah kendalian Houthi melaporkan bahawa seorang wanita dan anaknya terbunuh dalam serangan udara Arab Saudi, manakala suami serta dua lagi ahli keluarga wanita itu cedera.

    Menurut Xinhua, terdahulu pada Selasa, al-Masirah melaporkan tiga serangan udara Arab Saudi melanda sebuah rumah kediaman di bandar pelabuhan strategik Laut Merah, Mocha di Taiz, mengorbankan enam orang termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, serta mencederakan lapan yang lain.

  • Penyanyi Brazil dan 4 yang lain maut dalam nahas helikopter

    Lima orang, termasuk penyanyi Brazil Rick Sollo daripada duo muzik sertanejo Rick & Renner, ditemui mati pada Selasa selepas helikopter mereka terhempas di kawasan pergunungan negeri Santa Catarina di selatan Brazil, menurut berita Xinhua memetik pihak bomba.

    Helikopter itu dilaporkan hilang pada Isnin selepas berlepas dari Porto Belo di pantai utara negeri itu menuju ke Sao Joaquim, di mana cuaca buruk dan ribut petir diramalkan.

    Turut berada di dalam helikopter itu ialah ahli perniagaan Bruno Avelar, jurukamera Paulo Soares, serta juruterbang dan pembantu juruterbang.

    Serpihan helikopter ditemui pada Selasa semasa operasi mencari membabitkan kira-kira 40 anggota bomba, lebih 10 kenderaan dan dron, dua anjing pengesan, serta sebuah pesawat, di tengah-tengah keadaan berkabus.

    Menurut Xinhua, agensi penerbangan awam Brazil berkata pesawat itu, model Bell 430 keluaran tahun 2001, mempunyai kebenaran untuk beroperasi.

    Rick & Renner merupakan salah satu duo muzik sertanejo paling terkenal di Brazil dengan kerjaya yang bermula sejak 1980-an.

  • Sekurang-kurangnya 4 maut akibat ribut di selatan Brazil

    Sekurang-kurangnya empat orang terkorban dan beberapa yang lain masih hilang selepas ribut kuat melanda negeri Rio Grande do Sul di selatan Brazil, menurut berita Xinhua memetik kenyataan pihak pertahanan awam pada Selasa.

    Ribut itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada lebih 700,000 penduduk, dengan kelajuan angin kencang melebihi 115 km sejam dan taburan hujan sehingga 15 cm di sesetengah kawasan. Hujan lebat, angin kencang, hujan batu, banjir dan tanah runtuh telah menjejaskan beberapa bahagian negeri itu, di mana pihak berkuasa mengekalkan amaran bagi risiko tanah runtuh dan kawasan banjir.

    Xinhua melaporkan, menurut laporan pertahanan awam, kira-kira 2,732 orang telah dipindahkan dan 146 kawasan perbandaran di Rio Grande do Sul melaporkan kejadian yang berpunca daripada ribut terbabit.

  • Houthi kata serangan udara Saudi ke atas penjara di Yaman mengorbankan sembilan tahanan

    Kumpulan Houthi Yaman pada Selasa berkata bahawa serangan udara Arab Saudi mengorbankan sembilan tahanan di sebuah penjara di bawah kawalan mereka di wilayah utara Al-Jawf, menurut berita Xinhua.

    Kumpulan itu memaklumkan bahawa serangan terbabit berlaku pada malam Isnin dan semua tahanan itu telah ditangkap dalam pertempuran baru-baru ini.

    Abdul Qader al-Murtada, ketua jawatankuasa hal ehwal tahanan Houthi, berkata di X bahawa “rejim Saudi yang zalim” itu telah menyasarkan sebuah penjara di Al-Hazm, ibu kota wilayah berkenaan, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, terdahulu pada Selasa, saluran TV Al-Masirah dikendalikan oleh Houthi melaporkan pesawat perang Arab Saudi telah melancarkan tiga serangan udara ke atas sebuah rumah di bandar pelabuhan Mocha di Laut Merah, wilayah Taiz di barat daya Yaman, mengorbankan enam orang, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, serta mencederakan lapan yang lain.

  • Angka maut meningkat kepada 6 susulan hujan lebat akibat taufan di Jepun

    Angka kematian meningkat kepada enam orang pada Selasa, dengan enam lagi masih hilang, selepas hujan lebat akibat taufan besar melanda wilayah Kanto di timur Jepun serta mencetuskan kejadian tanah runtuh dan banjir sehari sebelumnya, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Daripada jumlah kematian itu, lima disahkan berlaku di Prefektur Chiba, di timur Tokyo, termasuk seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang maut selepas terjatuh ke dalam kawasan rumpun buluh ketika mengendalikan jentera berat untuk membersihkan lumpur dan serpihan akibat tanah runtuh. Mangsa lain pula berusia lingkungan 70-an dan 80-an, menurut Xinhua memetik Kyodo News.

    Satu lagi kematian disahkan di Yokosuka, Prefektur Kanagawa, yang juga dekat Tokyo, membabitkan seorang wanita berusia lingkungan 60-an yang meninggal dunia pada Isnin selepas rumahnya dilanda tanah runtuh yang menyebabkan lumpur membanjiri kediaman itu.

  • Dua polis terbunuh dalam serangan terhadap pasukan vaksinasi polio di barat daya Pakistan

    Dua anggota polis yang memberikan kawalan keselamatan kepada pasukan vaksinasi polio terbunuh dalam satu serangan pengganas di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan, menurut berita Xinhua memetik kenyataan polis pada Selasa.

    Insiden itu dilaporkan berlaku di kawasan Kali Jamalabad dalam daerah Nushki, di mana penyerang menyasarkan anggota polis ditugaskan untuk melindungi pasukan vaksinasi polio terbabit.

  • Remaja ditahan selepas tembakan di luar sekolah menengah di Turkiye menyebabkan 11 cedera

    Seorang remaja lelaki ditahan selepas sekurang-kurangnya 11 orang cedera dalam satu kejadian tembakan di luar sebuah sekolah menengah di wilayah barat Manisa, Türkiye, pada pagi Selasa, menurut berita Xinhua memetik Menteri Kehakiman Akin Gurlek.

    Insiden itu berlaku di hadapan Sekolah Menengah Teknik Anatolia Inci Uzmez di daerah Turgutlu pada jam kira-kira 8 pagi waktu tempatan (0500 GMT), menyebabkan 11 pelajar cedera, dengan dua daripadanya mengalami kecederaan serius.

    Suspek remaja itu melepaskan tembakan secara rambang di luar bangunan sekolah, namun motif kejadian masih belum diketahui.

    Menurut Xinhua, Gurlek menerusi satu hantaran di X menyatakan, bahawa pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan menyeluruh dan pelbagai sudut mengenai bagaimana senjata yang digunakan dalam serangan itu diperoleh oleh suspek, cara ia disimpan, tanggungjawab ibu bapa dari segi penjagaan dan pengawasan, serta dakwaan mengenai buli dalam kalangan rakan sebaya sebelum kejadian itu berlaku.

  • 6 maut, 8 cedera serangan udara Arab Saudi ke atas bandar pelabuhan Mocha di Yaman

    Serangan udara Arab Saudi melanda sebuah rumah kediaman di bandar pelabuhan strategik Mocha di wilayah Taiz, barat daya Yaman, pada awal pagi Selasa, mengorbankan enam orang dan mencederakan lapan yang lain, menurut berita Xinhua memetik laporan media kendalian Houthi.

    Xinhua melaporkan, menurut saluran TV Al-Masirah dikendalikan oleh Houthi, “pesawat perang penceroboh Saudi” melancarkan tiga serangan udara ke atas kediaman orang awam di Mocha pada Selasa, mengorbankan enam orang—termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita—serta mencederakan lapan yang lain.

    Menurut Xinhua, Al-Masirah turut menyiarkan rakaman memaparkan kanak-kanak yang didakwa sebagai antara mangsa terkorban dan cedera dalam serangan itu.

    Serangan ini berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi, dengan serangan udara Saudi menyasarkan kawasan dikuasai Houthi di Yaman, manakala kumpulan itu melancarkan peluru berpandu dan dron ke sasaran jauh di dalam wilayah kerajaan Saudi, menurut Xinhua.

  • Polis maut dalam serangan “pengganas” di Iran

    Seorang anggota polis terbunuh dan tiga yang lain cedera dalam serangan bersenjata “pengganas” di wilayah Sistan dan Baluchestan, tenggara Iran, pada Isnin, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita separa rasmi Tasnim.

    Xinhua melaporkan, menurut laporan Tasnim yang memetik kenyataan pejabat perhubungan awam polis wilayah, serangan terhadap kenderaan mereka itu berlaku di jalan antara bandar di daerah Iranshahr ketika anggota polis terbabit bertugas.

    Sistan dan Baluchestan, sebuah wilayah bersempadan dengan Pakistan dan Afghanistan, dikatakan telah menyaksikan beberapa serangan pengganas yang menyasarkan orang awam serta pasukan keselamatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

  • 2 juruterbang maut dalam nahas helikopter semasa memadam kebakaran hutan di California, AS

    Dua juruterbang maut pada Ahad apabila sebuah helikopter kontrak terhempas semasa menyokong operasi memadam kebakaran ‘Dome Fire’—kebakaran hutan di Taman Negara Yosemite, California—menurut Bahagian Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran Alaska pada Isnin, lapor Xinhua.

    Nahas itu berlaku pada kira-kira jam 2:55 petang waktu tempatan (2155 GMT) di daerah Mariposa, membabitkan dua orang di dalam helikopter terbabit, menurut Xinhua memetik agensi itu.

    Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) sedang menyiasat nahas berkenaan.