Beberapa orang terbunuh dalam pusingan serangan terbaru AS yang menyasarkan kawasan berbeza di Iran, menurut berita Xinhua memetik laporan media Iran pada Isnin, memetik pegawai tempatan.
Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan tiga lagi cedera dalam serangan AS ke atas barat daya daerah Abadan, wilayah Khuzestan, pada petang Isnin, Xinhua memetik agensi berita separa rasmi Fars.
Tiga lokasi di daerah itu kena projektil AS pada jam 13:45 waktu tempatan (1015 GMT), Valiollah Hayati, timbalan gabenor Khuzestan untuk hal ehwal keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, dilapor sebagai berkata.
Terdahulu pada hari itu, Valiollah berkata, sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan empat lagi cedera dalam serangan AS semalaman ke atas daerah Bandar-e Mahshahr di Khuzestan, ketika projektil AS hentam stesen pam air pertanian, Xinhua memetik agensi berita rasmi IRNA. Mangsa dikenal pasti sebagai pengawal kemudahan itu.
Dalam pada itu, menurut Xinhua, IRNA memetik Akbar Salehi, timbalan gabenor wilayah Isfahan untuk hal ehwal keselamatan, sebagai berkata bahawa serangan semalaman AS membunuh sekurang-kurangnya seorang dan menyebabkan tujuh yang lain cedera di wilayah itu.
Serangan itu, dilakukan pada awal pagi Isnin, menyasarkan sebuah pusat tentera di daerah Nain, pegawai itu dilapor berkata.
Xinhua melaporkan, agensi berita separa rasmi Mehr, yang memetik sumber tempatan, melaporkan letupan juga kedengaran pada tengah hari Isnin di sekitar bandar pelabuhan Bandar Abbas dan Pulau Qeshm di wilayah Hormozgan, selatan Iran.
