Satu kebakaran marak melanda sebuah rumah teres berbilang keluarga di New York pada awal Khamis, mengorbankan enam orang dan mencederakan sembilan yang lain, termasuk anggota bomba dan pegawai polis, lapor berita AP memetik jabatan bomba bandar raya itu.
Lebih 200 anggota pasukan tindak kecemasan bergegas ke bangunan dua tingkat di kawasan Sunset Park, Brooklyn itu, lapor AP, Kevin Woods, ketua operasi bomba jabatan itu, berkata sebaik tiba, mereka mendapati “api di setiap tingkat.”
Pegawai penyiasat kebakaran masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran.
Menurut Woods, anggota bomba berjaya menyelamatkan empat orang dengan menggunakan laluan masuk di bahagian belakang untuk mencapai mangsa yang terperangkap di sebalik jeriji tingkap.
Rumah teres berkongsi dinding dan bahagian luar yang sama, serta biasanya dibina dalam bentuk blok.
Pegawai bomba berkata bangunan itu merupakan sebahagian daripada blok yang terdiri daripada 25 buah rumah berangka kayu di Sunset Park, sebuah kawasan kejiranan kelas pekerja yang padat penduduk di barat daya Brooklyn, yang menempatkan komuniti Asia dan Hispanik yang besar.
