Presiden Israel berkata dia akan mengumumkan pada Ahad ini ahli parlimen yang akan ditugaskan untuk membentuk kerajaan seterusnya, susulan rundingan dengan parti-parti politik selepas pilihan raya bulan lalu, lapor berita Anadolu.
Dalam satu pesanan video pada Khamis yang dilaporkan oleh saluran berita Israel, Ynet, Isaac Herzog berkata parti-parti yang mewakili 67 daripada 120 kerusi di Knesset telah mencadangkan pemimpin parti Yashar, Gadi Eisenkot, manakala parti-parti yang memegang 46 kerusi menyokong perdana menteri semasa, Benjamin Netanyahu, pemimpin parti Likud.
“Hasil rundingan mungkin kelihatan jelas,” kata Herzog, namun menambah bahawa keupayaan untuk membentuk kerajaan masih belum pasti disebabkan oleh bantahan antara satu sama lain, baik dalam kalangan blok politik mahupun di dalam blok terbabit.
Dia berkata, akan mengadakan perbincangan lanjut secara berasingan dengan pemimpin-pemimpin parti bagi menilai prospek mereka untuk membentuk sebuah gabungan.
Herzog menegaskan dia akan berusaha sedaya upaya untuk memudahkan pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.
Israel telah mengadakan pilihan raya parlimen pada 27 Oktober lalu, di mana baik blok Netanyahu mahupun pihak pembangkang gagal memperoleh majoriti mutlak.
Di bawah undang-undang Israel, presiden akan menugaskan seorang ahli parlimen untuk membentuk kerajaan selepas berunding dengan puak-puak parlimen, dengan mengambil kira keupayaan mereka untuk mendapatkan sokongan majoriti di Knesset.
