Helikopter tentera Indonesia terhempas semasa misi padam kebakaran, 1 maut

Sebuah helikopter tentera Indonesia terhempas semasa menjalankan misi memadam kebakaran hutan dan lahan di wilayah Kalimantan Tengah pada Rabu, mengakibatkan seorang daripada lapan krunya maut, lapor berita Xinhua memetik tentera Indonesia.

Jurucakap tentera Indonesia, Donny Pramono, berkata helikopter itu terhempas di perairan dekat Desa Sungai Perlu di Kabupaten Seruyan pada kira-kira 11:18 pagi waktu tempatan.

Lima anggota kru selamat dan sedang menerima rawatan di hospital tempatan, manakala usaha mencari dan menyelamat diteruskan bagi dua lagi kru.

Helikopter terbabit berlepas dari Kuala Pembuang pada 9:55 pagi untuk menyokong operasi memadam kebakaran di Taman Nasional Tanjung Puting.

Donny berkata, kemalangan itu berlaku ketika helikopter terbabit mengambil air laut untuk operasi pemadaman kebakaran dari udara, sambil menambah bahawa pihak penyiasat masih menyiasat punca nahas.