Angka kematian akibat serangan genosid berterusan Israel terhadap Jalur Gaza mencecah 74,254, manakala jumlah mereka yang cedera meningkat kepada 175,306, menurut berita WAFA memetik sumber perubatan.
Menurut WAFA, mereka menjelaskan bahawa golongan paling rentan, membabitkan kanak-kanak, wanita dan warga emas, merupakan sebahagian besar daripada jumlah korban. Seramai 21,976 kanak-kanak telah terbunuh dan 45,569 cedera.
Mereka dilapor berkata, 11,301 wanita terbunuh dan 24,537 cedera, manakala 5,405 warga emas terbunuh dan 12,269 cedera. Jumlah lelaki yang terbunuh pula ialah 35,555 orang, dengan 92,892 orang cedera.
Mereka memberi amaran mengenai tindakan menyasarkan kanak-kanak secara sistematik di Gaza, sambil menyatakan bahawa tentera penjajah Israel membunuh seorang kanak-kanak setiap 71 minit.
Mereka merekodkan kematian 1,125 kanak-kanak di bawah umur satu tahun, termasuk 612 bayi yang dilahirkan dan terbunuh semasa serangan terbabit, selain 5,444 kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
Serangan itu juga telah mengakibatkan 1,134 kes pemotongan anggota badan dalam kalangan kanak-kanak, menyebabkan 71,846 kanak-kanak menjadi yatim, menafikan akses pendidikan kepada 914,102 kanak-kanak, dan mendedahkan 1,204,102 kanak-kanak kepada ketidakjaminan makanan. Keadaan ini telah menyebabkan peningkatan mendadak dalam kadar kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun, mencecah 33.4 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.
Menurut WAFA, berhubung sistem penjagaan kesihatan, sumber berkenaan mengesahkan bahawa daripada 38 hospital yang disasarkan, 19 hospital telah berhenti operasi sepenuhnya, manakala 19 hospital lagi hanya beroperasi secara separa. Ini termasuk lima hospital kerajaan dan 12 hospital lapangan.

