Angka kematian meningkat kepada 11 orang, dengan tiga lagi masih hilang, selepas hujan lebat dibawa taufan besar melanda wilayah Kanto di timur Jepun serta mencetuskan kejadian tanah runtuh dan banjir awal minggu ini, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan pada Jumaat.
Daripada jumlah kematian itu, tujuh disahkan di prefektur Chiba, di timur Tokyo, manakala empat lagi disahkan di prefektur Kanagawa, di barat daya ibu negara itu.
Mangsa terkini ditemui ialah seorang wanita berusia lingkungan 70-an yang dilaporkan hilang selepas kejadian tanah runtuh di Yokosuka, Kanagawa, menurut berita Xinhua memetik penyiar awam NHK.
Pihak polis dan anggota bomba meneruskan usaha mencari mereka yang hilang.
Taufan Dujuan dilaporkan menghampiri pantai timur Pasifik Jepun pada Isnin, membawa taburan hujan pada paras rekod ke wilayah Kanto dan Kepulauan Izu, mencetuskan tanah runtuh serta banjir sungai dan mengakibatkan kerosakan teruk di kawasan dekat Tokyo, khususnya di prefektur Chiba.

