Sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan hilang selepas ribut kuat melanda negeri Rio Grande do Sul di selatan Brazil pada Isnin, menurut berita Xinhua memetik agensi pertahanan awam.
Ribut itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada lebih 700,000 penduduk, dengan kelajuan angin kencang melebihi 115 km sejam dan taburan hujan sehingga 15 cm di sesetengah kawasan, lapor Xinhua.
Seorang wanita berusia 43 tahun dan dua anaknya, yang sedang menaiki kereta di Caxias do Sul, dilaporkan hilang, bersama seorang lelaki yang sedang membersihkan saluran paip tersumbat di luar rumahnya bagi mengelakkan banjir, Xinhua memetik jabatan bomba.
Xinhua memetik pihak berkuasa, ribut itu juga meruntuhkan sebuah bangunan kosong di Pelotas, menyebabkan kecederaan parah kepada seorang individu yang terjatuh dari bumbung, serta merosakkan ratusan rumah.
Di Nova Santa Rita, angin kencang menerbangkan bumbung kira-kira 400 bangunan dan memusnahkan tiga lagi, meruntuhkan struktur logam pusat logistik serta menterbalikkan tiga trak.
Sekurang-kurangnya 20 bandar mencatatkan kelajuan angin berterusan melebihi 80 km sejam, lapor Xinhua.

