3 lagi mayat ditemui daripada kapal karam di Laut Jawa

Pasukan mencari dan menyelamat bersama pada Jumaat menemui tiga lagi mayat daripada kapal yang terbalik dan karam di Laut Jawa, menjadikan jumlah kematian seramai sembilan orang pada hari keenam operasi pencarian, menurut berita Xinhua memetik Tentera Laut Indonesia.

Jurucakap Tentera Laut Indonesia, Laksamana Pertama Tunggul, dilapor berkata penyelam tentera laut memasuki kapal yang karam itu dan menemui mayat dua lelaki serta seorang wanita.

Penyelam turut mengeluarkan 210 barang dari dalam dan sekitar bangkai kapal itu, yang akan diserahkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia untuk siasatan, kata Galih Nurna Putra, komander pangkalan Tentera Laut Indonesia di Banjarmasin, lapor Xinhua.

Kapal Virgo Transport 8 membawa 243 orang dari Surabaya di wilayah Jawa Timur ke Banjarmasin apabila ia terbalik akibat cuaca buruk pada awal pagi Ahad.

Menurut data rasmi terkini, 108 orang telah diselamatkan, sembilan disahkan meninggal dunia dan 126 orang masih hilang.