8 cedera tembakan dekat sekolah di Manisa, Turkiye

Lapan orang cedera dalam satu kejadian tembakan di luar sebuah sekolah menengah di wilayah Manisa, barat Türkiye, pada Selasa, menurut berita Xinhua memetik laporan pejabat gabenor tempatan.

Dalam satu kenyataan, pejabat itu memaklumkan bahawa kejadian terbabit berlaku di kawasan dekat Sekolah Menengah Teknik Anatolia Inci Uzmez di daerah Turgutlu pada kira-kira jam 8 pagi waktu tempatan (0500 GMT).

Pasukan keselamatan telah menahan suspek, dan siasatan serta tindakan undang-undang dan pentadbiran telah dimulakan berhubung kejadian itu, Xinhua memetik kenyataan berkenaan.

Susulan laporan mengenai kejadian itu, sejumlah besar anggota polis dan pasukan perubatan segera dikerahkan ke lokasi, dan mangsa yang cedera telah dipindahkan ke kemudahan kesihatan berdekatan, lapor Xinhua memetik kenyataan itu.

Menurut Xinhua, Sozcu TV melaporkan dalam siaran langsung bahawa suspek melepaskan tembakan secara rambang di luar bangunan sekolah atas sebab tidak diketahui.