Agensi Pertahanan Awam Gaza berkata pada Sabtu bahawa krunya menemui mayat dan sisa 112 orang dari bawah runtuhan rumah yang musnah akibat serangan Israel di kawasan kejiranan Sabra di bandar Gaza, menurut berita Anadolu.
Menurut Anadolu, agensi itu dalam satu kenyataan berkata, kru telah menyelesaikan operasi pencarian yang dilancarkan hampir dua minggu lalu di sebuah blok kediaman yang dikatakan tentera Israel telah “musnahkan penduduknya”.
Anadolu melaporkan, menurut agensi itu, blok kediaman itu, yang merangkumi rumah milik keluarga al-Hasayna dan Abu Sharia, telah diserang pada 23 November 2023, sehari sebelum gencatan senjata pertama dalam perang Gaza berkuat kuasa.
Agensi itu dilapor berkata, krunya menemui mayat terbabit semasa 136 jam kerja “berat” yang dijalankan selama hampir dua minggu.
Mangsa termasuk 40 kanak-kanak, 38 wanita dan tujuh orang kurang upaya, katanya.
Mohammed Abu Dan, yang menyelia operasi itu, dilapor berkata kru tidak dapat menemui 157 mayat lagi yang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan.
“Kru-kru sedang menggali dengan tangan mereka melalui konkrit bertetulang yang banyak,” kata Abu Dan, sambil menggambarkan kekurangan peralatan sebagai halangan terbesar operasi terbabit.
Dia dilapor berkata, beberapa mayat terperangkap dalam konkrit dan tetulang keluli, yang menurutnya mencerminkan daya pemusnah peluru yang digunakan.
“Banyak mayat hancur dan hilang kerana keamatan letupan itu,” tambahnya.

