Kapal kontena Rusia Yanina karam berikutan serangan dron tentera laut Ukraine di Laut Hitam, dan semua 17 anggota krunya diselamatkan, menurut berita Xinhua memetik Perbadanan Tenaga Atom Negara Rusia Rosatom pada Sabtu.
Rosatom berkata di media sosial bahawa kapal itu diserang pada Jumaat sekitar jam 10 malam waktu Moscow (1900 GMT) oleh dua dron tentera laut Ukraine, kira-kira 130 batu nautika (241 km) dari Novorossiysk, lapor Xinhua, serangan itu menyebabkan kerosakan dan kapal itu kemudiannya karam.
Alexei Likhachev, ketua pengarah Rosatom, dilapor berkata kapal kontena awam itu sedang belayar di perairan antarabangsa dan membawa kargo komersial pada masa kejadian.
“Semua 17 anggota kru telah diselamatkan dan berasa sihat,” kata Likhachev, sambil menyatakan bahawa penyelamatan itu dijalankan dengan bantuan unit penerbangan tentera laut dari Armada Laut Hitam Rusia dan kru antarabangsa kapal Delphinus.

