Dua belas orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya menjelang ziarah Grand Magal di bandar Touba, tengah Senegal, menurut berita Xinhua memetik Briged Bomba Nasional pada Sabtu.
Leftenan Djily Diouf, pegawai komunikasi untuk kontinjen briged yang dikerahkan untuk ziarah itu, berkata kematian telah direkodkan sejak operasi kecemasannya bermula pada 28 Julai, Xinhua memetik Agensi Akhbar Senegal.
Sehingga jam 8 pagi waktu tempatan Sabtu, anggota bomba telah menjalankan 182 intervensi kecemasan yang membabit 304 orang, kata Diouf.
Daripada operasi itu, 133 berkaitan dengan kemalangan jalan raya membabitkan 286 orang. Anggota bomba membantu 274 daripada mereka, manakala baki 12 disahkan meninggal dunia.
Dijadualkan pada Ahad, Grand Magal merupakan satu daripada perhimpunan keagamaan terbesar di Senegal. Ia diadakan setiap tahun oleh persaudaraan Muslim Mouride bagi memperingati pengasingan pengasasnya, Cheikh Ahmadou Bamba, pada 1895 oleh pihak berkuasa penjajah Perancis.

