Lima pendaki Bosnia maut di Gunung Elbrus, Rusia

Lima pendaki dari Bosnia dan Herzegovina (BiH) meninggal dunia di Gunung Elbrus, Rusia, puncak tertinggi di Eropah, kelab pendakian gunung BiH, Vedro, yang mana pendaki meninggal dunia itu menyertai, mengesahkan pada Ahad, lapor Xinhua.

“Dengan penuh kesedihan dan kesakitan, kami memaklumkan kepada orang ramai mengenai kehilangan tragis lima rakan, rakan sekerja dan ahli persatuan kami, yang terkorban ketika melakukan apa yang paling mereka sukai, semasa ekspedisi di Elbrus,” kata Vedro dalam satu kenyataan.

Kejadian itu dilapor berlaku pada petang Sabtu, apabila sekumpulan tujuh orang dari BiH terkandas di gunung itu, yang terletak di wilayah Kabardino-Balkaria, Rusia. Seorang pendaki berjaya turun sendiri dan menghantar isyarat kecemasan kepada perkhidmatan penyelamat, sekali gus mencetuskan tindak balas kecemasan.

Pasukan penyelamat tempatan terdiri daripada lapan orang anggota segera dihantar ke kawasan terbabit. Penyelamat kemudiannya menemui seorang lagi mangsa terselamat, manakala lima lagi anggota ekspedisi disahkan meninggal dunia.

Menurut Xinhua, pihak berkuasa Rusia berkata pasukan penyelamat setakat ini menemui dua mayat, dan operasi mencari masih diteruskan meskipun keadaan cuaca mencabar di altitud tinggi.