5 termasuk ketua polis utara Gaza dilapor maut dalam serangan terbaru Israel

Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin, termasuk ketua polis utara Gaza, terbunuh dalam serangan udara Israel berasingan di jalur itu pada Sabtu, menurut berita Xinhua memetik sumber Palestin.

Abdul Nasser Mohammed al-Maqadma, 54, ketua polis utara Gaza di bawah pihak berkuasa dalaman yang dikendalikan oleh Hamas, terbunuh selepas dron Israel melanda kenderaannya di kawasan kejiranan Sheikh Radwan di bandar Gaza, Xinhua memetik kenyataan ringkas oleh pihak berkuasa dan sumber tempatan.

Dalam insiden lain, sumber perubatan berkata dua rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, terbunuh dalam serangan dron ke atas sebuah rumah di barat Khan Younis, seorang rakyat Palestin terbunuh dalam serangan menyasarkan basikal di utara bandar Gaza, dan seorang rakyat Palestin terbunuh dan tiga yang lain cedera dalam serangan ke atas khemah yang melindungi orang terlantar dekat kem pelarian Nuseirat.

Sepuluh orang lagi, termasuk wanita dan kanak-kanak, cedera dalam serangan di pintu pagar Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah, tengah Gaza, sumber itu dilapor berkata.

Menurut Xinhua, pihak berkuasa kesihatan berpangkalan di Gaza berkata pada Sabtu, jumlah kematian sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025 mencecah 1,191, dengan 3,853 cedera.

Jumlah kematian keseluruhan sejak Oktober 2023 mencecah 73,317, dengan 173,961 cedera.