3 kanak-kanak maut feri terbalik di Sungai Euphrates, Syria

Sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak maut dan bilangan orang yang tidak diketahui hilang selepas sebuah feri penumpang terbalik di Sungai Euphrates di wilayah timur Syria, Deir al-Zour pada Ahad, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

Feri itu terbalik sejurus selepas melanggar jambatan tentera dekat kawasan kejiranan al-Huweiqa semasa membawa penumpang dari tebing barat sungai ke kampung-kampung di sebelah timur, Xinhua memetik pihak berkuasa.

Pasukan penyelamat menemui mayat dua kanak-kanak dan menyelamatkan lebih 13 orang susulan kemalangan itu, kata Zain al-Aboud, pengarah Pengurusan Kecemasan dan Bencana di Deir al-Zour, kepada Xinhua.

Mayat kanak-kanak ketiga kemudiannya ditemui oleh penduduk tempatan kira-kira 20 km ke hilir dekat kampung al-Tabiya.