13 maut dalam nahas pesawat pelancong di Nazca Lines Peru

Sebuah pesawat pelancong kecil terhempas pada Sabtu ketika ia terbang di atas tapak arkeologi Nazca Lines di selatan Peru, mengorbankan 13 orang, menurut berita Reuters memetik pihak berkuasa di wilayah Nazca.

Kementerian Perdagangan dan Pelancongan Peru dilapor berkata dalam kenyataan, pesawat itu membawa 11 pelancong asing dan dua anggota kru.

Menurut Reuters, pihak berkuasa tempatan berkata, pesawat itu terhempas di kawasan Pueblo Viejo, kira-kira 6 km (4 batu) dari bandar Nazca dan kira-kira 12 km (7 batu) dari tapak Nazca Lines.

Pesawat kecil itu milik syarikat penerbangan tempatan Peru, Aerodiana, menurut Reuters memetik pihak berkuasa tempatan, dan telah berlepas dari Lapangan Terbang Pisco.

Reuters melaporkan, menurut laporan polis kepada akhbar tempatan, kemalangan itu berlaku pada jam 12:55 tengah hari waktu tempatan semasa pesawat itu sedang menjalankan penerbangan bersiar-siar dan sedang bersedia untuk memulakan perjalanan pulang.

Selepas terhempas, pesawat itu terbakar, menyebabkan sebarang usaha menyelamat mustahil dilakukan, Reuters memetik penyiar Peru RPP.

Nazca Lines, lukisan besar dan figura geometri yang terukir di dataran gurun di selatan negara itu, merupakan salah satu destinasi pelancongan utama Peru, menarik kira-kira 100,000 pengunjung tahunan. Pengunjung biasanya melihatnya dari pesawat kecil yang terbang di atas tapak itu.