Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam insiden tembakan berasingan sejak petang Ahad di wilayah Western Cape, Afrika Selatan, menurut berita Xinhua memetik polis pada Isnin.
Tembakan terbaru berlaku di Gugulethu, sebuah pekan di Cape Town kira-kira 20 km tenggara pusat bandar, pada awal pagi Isnin, menyebabkan lima orang maut dan seorang lagi cedera, kata Perkhidmatan Polis Afrika Selatan di Western Cape dalam satu kenyataan, menurut Xinhua.
Polis dilapor bertindak balas terhadap laporan kejadian tembakan di sebuah kediaman dan mendapati mangsa mengalami pelbagai luka tembakan.
“Empat lelaki dan seorang wanita, berumur antara 19 dan 23 tahun, diisytiharkan mati di tempat kejadian oleh kakitangan perubatan. Seorang wanita berusia 20 tahun yang mengalami luka tembakan telah dibawa ke kemudahan perubatan untuk rawatan,” polis dilapor berkata.
Siasatan awal menunjukkan dua lelaki bersenjata tidak dikenali memecah masuk ke dalam rumah itu, Xinhua memetik polis.
Menurut Xinhua, dalam kejadian tembakan berasingan di Stellenbosch, sebuah pekan kira-kira 50 km di timur Cape Town, pada petang Ahad, empat orang terbunuh dan empat yang lain, termasuk dua pegawai polis, cedera.
Lewat malam Ahad di Manenberg, sebuah pekan bersebelahan Gugulethu di Cape Town, dua lelaki berusia 38 dan 54 tahun terbunuh, manakala seorang wanita berusia 74 tahun parah dalam satu lagi kejadian tembakan, lapor Xinhua.
