1 maut, 1 cedera dalam perlanggaran helikopter di timur laut Nepal

Seorang warga asing maut manakala seorang lagi cedera selepas dua helikopter berlanggar semasa mendarat di sebuah tapak pendaratan helikopter di daerah Solukhumbu, timur laut Nepal, pada Selasa, lapor berita Xinhua.

Helikopter terbabit, yang masing-masing dikendalikan oleh Fishtail Air dan Air Dynasty, berlanggar di tapak pendaratan itu pada kira-kira 8:15 pagi waktu tempatan, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal (CAAN).

Pihak berkuasa menerima maklumat bahawa bilah rotor kedua-dua helikopter itu berlanggar antara satu sama lain semasa proses pendaratan, kata Gyanendra Bhul, pegawai maklumat di CAAN, kepada Xinhua.

Menurutnya, CAAN sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mendapatkan perincian tambahan mengenai kejadian terbabit.