Sekurang-kurangnya 330 kanak-kanak maut atau cedera di Sudan dalam enam bulan pertama 2026

Sekurang-kurangnya 330 kanak-kanak terbunuh atau cedera di Sudan dalam enam bulan pertama 2026, dengan negeri Darfur dan Kordofan mencatatkan bilangan korban kanak-kanak tertinggi, kata Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Isnin, menurut berita Xinhua.

“Kanak-kanak di seluruh Sudan terus menanggung beban perang yang semakin membawa maut,” UNICEF dilapor berkata dalam satu siaran akhbar.

Situasi di dalam dan sekitar El Obeid di Kordofan Utara amat membimbangkan, dengan serangan dron dan serangan lain dilaporkan menyebabkan lebih daripada 35 korban kanak-kanak sejak Mei, termasuk sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh, ia dilapor berkata.

Serangan dron menyumbang 60 peratus daripada korban ini, dan dianggarkan 500,000 orang awam berisiko di kawasan itu, ia dilapor berkata.

“Bagi ramai kanak-kanak, tiada tempat selamat lagi … kanak-kanak tidak boleh menjadi sasaran,” ia memetik Wakil UNICEF untuk Sudan, Sheldon Yett, sebagai berkata.

Ia menggesa semua pihak untuk melindungi orang awam dan infrastruktur awam, dan membenarkan akses kemanusiaan yang selamat, pantas dan tanpa halangan.

Sejak konflik tercetus pada April 2023 antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera, hampir 5 juta kanak-kanak Sudan telah kehilangan tempat tinggal, menurut siaran akhbar UNICEF pada pertengahan April, lapor Xinhua.

Kira-kira 4.2 juta kanak-kanak dijangka mengalami kekurangan zat makanan akut tahun ini, dan kira-kira 8 juta tidak bersekolah, ia dilapor berkata.