Pasukan penyelamat Indonesia cari 129 orang masih hilang selepas kapal penumpang terbalik

Lebih 600 anggota penyelamat Indonesia sedang mencari 129 orang yang masih hilang selepas sebuah kapal penumpang terbalik di Laut Jawa pada hujung minggu, menurut seorang pegawai pada Isnin, dengan angka kematian kekal pada enam orang, lapor berita Reuters.

Kapal Virgo Transport 8, yang membawa 243 orang, dilaporkan hilang ketika cuaca buruk pada awal pagi Ahad, menurut Reuters memetik agensi penyelamat.
Pihak berkuasa telah menyelamatkan 108 orang daripada kapal terbabit, yang dalam perjalanan dari Surabaya di Jawa Timur ke Banjarmasin di Kalimantan Selatan.

“Kami meneruskan usaha mencari mangsa yang hilang sejak awal pagi tadi. Kami mengerahkan 622 anggota dan kira-kira 12 buah kapal,” kata I Putu Sudayana, ketua agensi penyelamat Banjarmasin, menurut Reuters.

Dia dilapor berkata bahawa tiada peningkatan dalam jumlah kematian seramai enam orang itu setakat pagi Isnin.

Menurut Reuters, dalam satu video yang dikongsi oleh agensi penyelamat, kelihatan sebuah kapal besar berwarna merah dan hitam terbalik serta sebahagiannya tenggelam di perairan biru yang bergelora, dengan bahagian bawah kapal yang dicat merah kelihatan di atas permukaan air.

Dua buah bot kecil, yang masing-masing membawa penumpang, dilihat terapung dekat kapal yang terbalik itu di tengah-tengah keadaan air yang bergelora.

Pada Ahad, Edy Prakoso, seorang lagi pegawai di agensi penyelamat kebangsaan, dilapor berkata kapal itu senget dengan ketara ke satu sisi selepas dipukul ombak kuat pada bahagian kanan kapal (starboard).

Sebuah helikopter yang sedang melintas melaporkan kapal itu terbalik, kata Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi pada Ahad, dengan punca kejadian masih dalam siasatan, lapor Reuters.

Indonesia bergantung pada perkhidmatan feri untuk menghubungkan 17,000 pulaunya, memandangkan perjalanan laut lebih murah dan mudah diakses berbanding perjalanan udara, namun banyak kemalangan berlaku.