Sebuah kenderaan berlanggar dengan pesawat penumpang yang sedang diparkir di Lapangan Terbang Fukuoka di barat daya Jepun pada Isnin, namun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.
Insiden itu berlaku sejurus selepas jam 10 pagi waktu tempatan apabila sebuah kenderaan yang dilengkapi tangga penumpang melanggar pesawat jet penumpang All Nippon Airways (ANA) yang diparkir di lapangan terbang itu.
Menurut Xinhua, laporan itu disiarkan oleh penyiar awam NHK, memetik kenyataan daripada syarikat pengendali lapangan terbang dan pihak ANA.
Kenderaan itu sedang cuba bergerak di bahagian belakang pesawat apabila ia berlanggar dengan pesawat terbabit dekat bahagian ekornya.
Para penumpang sudah pun menaiki pesawat yang dijadualkan berlepas ke Lapangan Terbang New Chitose di Hokkaido itu, namun penerbangan itu dibatalkan akibat insiden berkenaan dan langkah telah diambil untuk memindahkan penumpang ke penerbangan lain, menurut Xinhua memetik laporan itu.

