Dua orang ditemui mati dan tiga lagi dibawa ke hospital selepas kebakaran berlaku pada malam Sabtu di sebuah bangunan di wilayah tengah Jepun, Gifu, menurut berita Xinhua memetik media tempatan.
Xinhua melaporkan, menurut Kyodo News, polis menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9 malam waktu tempatan yang melaporkan kejadian tikam telah berlaku dan seseorang telah menuang petrol ke atas sebuah bangunan dua tingkat di Bandar Motosu yang menempatkan sebuah kedai pastri dan sebuah kediaman. Kebakaran itu berjaya dipadamkan kira-kira tiga jam kemudian.
Menurut Xinhua, penyiar awam NHK, memetik polis, melaporkan bahawa sejumlah 11 orang, termasuk seorang wanita berusia 66 tahun yang mengendalikan kedai itu dan 10 kenalan, telah berkumpul di bangunan itu apabila kebakaran berlaku.
Polis mengesyaki seorang daripada orang yang hadir mungkin terbabit dalam kejadian itu dan sedang menyiasat lebih lanjut. Wanita itu adalah antara mereka yang dibawa ke hospital.

