Juruterbang dan empat penumpang helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak, petang tadi, disahkan meninggal dunia, menurut berita BH ONLINE.
Menurut portal berita itu, Residen Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang, mengesahkan semua lima individu yang berada di dalam helikopter terbabit maut dalam kejadian yang berlaku di hujung landasan itu, kira-kira jam 3.40 petang tadi.
“Malangnya, kesemua lima individu di dalam helikopter itu disahkan meninggal dunia berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM).
“Bagaimanapun, saya belum dapat memberikan nama mangsa yang meninggal dunia ketika ini,” katanya dalam laporan Borneo Post, seperti dipetik oleh BH ONLINE.
Menurut BH ONLINE, terdahulu, Pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi satu kenyataan mengesahkan insiden berkenaan.
CAAM dilapor menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.
Menurut BH ONLINE, lima mangsa dikenali pasti sebagai Kapten Zainol, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, selain penolong pegawai perubatan Alexson Adit dan dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.

