Jumlah kematian akibat banjir kilat Nepal-China meningkat kepada 1,428, pencarian 5,649 orang hilang diteruskan

Jumlah kematian akibat banjir kilat dan gelongsoran lumpur dahsyat di sempadan Nepal-China meningkat kepada 1,428, sementara pencarian 5,649 orang berlanjutan lebih dari dua minggu setelah bencana melanda wilayah itu, lapor Anadolu.

Anadolu memetik Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal, jumlah kematian yang disahkan di negara itu meningkat kepada 1,385, dengan 5,130 orang masih hilang.

Di pihak China, jumlah kematian kekal pada 43, dengan 519 orang hilang di Wilayah Autonomi Xizang barat daya, juga dikenali sebagai Tibet.

Antara yang hilang, 848 adalah warga asing, membabit 587 di Nepal dan 261 di Tibet.

Bencana itu melanda pada 26 Ogos apabila glasier di Gunung Langtang Lirung Nepal retak pada ketinggian kira-kira 5,200 meter (17,060 kaki), lapor Anadolu, rekahan itu mencetuskan runtuhan ais batu yang berkembang menjadi aliran serpihan besar dan melanda lembah di sempadan.

Air banjir dan gelongsoran lumpur memusnahkan daerah Rasuwa, Nuwakot, Dhading dan Kavre di Nepal, serta Lembah Kathmandu, menurut Anadolu, bencana itu turut menimbus lintasan sempadan Gyirong di Xizang.