Jordan pada Selasa berkata serangan udaranya di Syria telah mengorbankan kira-kira 20 militan kumpulan pelampau Islamic State (IS), tetapi turut mengakui bahawa terdapat orang awam terkorban dalam serangan terbabit, lapor berita AP.
Menurut AP, tentera udara negara itu melancarkan serangan udara di Syria pada petang Isnin sebagai tindak balas terhadap serangan minggu lalu ke atas satu upacara pengebumian di sebuah Gereja Ortodoks Greek di bandar Karak, selatan Jordan, yang mengorbankan sembilan orang.
Terdahulu pada hari yang sama, Jordan mengumumkan penahanan tiga lelaki bersenjata, namun tidak mendedahkan kaitan mereka dengan mana-mana kumpulan, lapor AP.
Angka yang diberikan dalam kenyataan oleh jurucakap kerajaan Jordan, Mohammad al-Momani, berbeza dengan laporan daripada pihak tindak balas pertama di Syria.
Pertahanan awam Syria berkata, mereka hanya menemui mayat tujuh orang awam yang terkorban dalam serangan Jordan di wilayah Daraa dan Sweida di bahagian selatan, lapor AP, lima daripada mangsa adalah satu keluarga, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang wanita; manakala dua lelaki yang terkorban adalah warga emas.
Kerajaan Syria dilapor berkata, serangan itu dijalankan tanpa sebarang penyelarasan atau pemberitahuan awal.
Menurut AP, Kementerian Luar Syria dalam satu kenyataan mengutuk serangan itu, menyifatkannya sebagai “pelanggaran dan pencerobohan yang tidak boleh diterima” terhadap ruang udara Syria, namun turut berkata kepimpinan kedua-dua negara akan memperkukuh penyelarasan keselamatan bagi “menghalang sebarang usaha untuk menggugat kestabilan keselamatan kedua-dua negara serta mengelakkan pertumpahan darah rakyatnya.”
Al-Momani berkata, serangan itu dilakukan berdasarkan risikan mengenai “ancaman yang disahkan serta tindakan pengganas dirancang terhadap Jordan” dan melahirkan rasa kesal atas kematian orang awam.
