Satu pasukan rondaan bersama Angkatan Tentera Mali dan rakan sekutu mereka menemui mayat 54 orang awam di sebuah kem di Tagadayat, kira-kira 35 km ke tenggara Menaka di timur laut Mali, kata tentera dalam kenyataan pada Sabtu, menurut berita Xinhua.
Pasukan rondaan itu dikerahkan susulan laporan mengenai apa yang disifatkan oleh tentera sebagai serangan pengganas terhadap orang awam di kawasan operasi Menaka, lapor Xinhua, kenyataan itu tidak menyatakan bila serangan itu berlaku atau bila mayat-mayat terbabit ditemui.
Mangsa-mangsa telah dikebumikan di lokasi kejadian, lapor Xinhua.
Sembilan orang yang terselamat turut ditemui dan dipindahkan ke Menaka, di mana mereka menerima rawatan daripada pihak berkuasa kesihatan tempatan, lapor Xinhua memetik kenyataan itu.
Tentera berkata, keterangan awal saksi, mengaitkan pembunuhan itu kepada Islamic State di Greater Sahara (ISGS).
ISGS dikatakan kumpulan yang bersekutu dengan Islamic State dan aktif di kawasan sempadan Mali, Niger, serta Burkina Faso, di mana kumpulan itu telah melancarkan pelbagai serangan.
