Iran tangkap dron kapal selam AS di Selat Hormuz

Pengawal Revolusi Iran berkata pada Selasa bahawa ia menangkap sebuah kapal selam tanpa kru AS di pintu masuk Selat Hormuz, memberikan gambaran yang jarang berlaku mengenai bagaimana dron bawah air digunakan dalam operasi ketenteraan, menurut berita Reuters.

Menurut Reuters, media kerajaan Iran mengatakan vesel itu adalah Dive-LD, sebuah kenderaan bawah air autonomi besar yang dibina oleh firma pertahanan California Anduril.

Kapal selam sepanjang 19 kaki (5.8 meter) itu boleh menjalankan misi termasuk langkah balas periuk api, pemetaan dasar laut, pengumpulan risikan dan pemeriksaan infrastruktur bawah air seperti kabel dan saluran paip, lapor Reuters memetik syarikat itu.

“Kami telah memerangkap salah satu kapal selam tanpa pemandu tentera pengganas Amerika yang paling moden, pintar dan paling canggih di pintu masuk Selat Hormuz. Kapal selam ini dilengkapi dengan teknologi terkini,” kata Tentera Laut Pengawal Revolusi dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media kerajaan Iran, menurut Reuters.

Menurut Reuters, sebagai tindak balas, jurucakap Pentagon berkata sebuah dron bawah air telah “tidak berfungsi lebih dari ‌sehari lalu”.

“Ia sedang meninjau perairan serantau untuk menyokong operasi yang sedang dijalankan. Dron yang rosak itu merupakan model lama yang tidak mengumpul data sensitif mahupun membawa sebarang peralatan sonar atau radar sulit,” jurucakap itu dilapor berkata.

Reuters bagaimanapun mengatakan tidak dapat mengesahkan dakwaan Iran secara bebas dan Pentagon tidak menanganinya dalam kenyataannya.

Menurut Reuters, tentera AS banyak melabur dalam sistem tentera laut tanpa pemandu, termasuk kapal bawah air dan permukaan, kerana ia mencari cara yang lebih murah untuk memantau kawasan lautan yang luas, mengumpul risikan dan menjejaki kapal dan kapal selam musuh tanpa membahayakan kelasi.

Reuters memetik laman web Anduril, Dive-LD boleh beroperasi sehingga 10 hari tanpa kembali ke pangkalan dan direka bentuk untuk menyelam ke kedalaman sehingga 6,000 meter (19,700 kaki). Unit Dive-LD berharga kira-kira $2.5 juta setiap satu, menurut Reuters memetik laporan laman berita tentera AS, DefenseScoop pada 2024.