Iran sasar tapak di Bahrain, Kuwait selepas gelombang serangan AS

Pengawal Revolusi Iran dilapor berkata mereka menyasarkan tapak tentera AS di Bahrain dan Kuwait pada Rabu selepas AS melancarkan gelombang serangan ketenteraan ke atas Iran, menurut berita Reuters.

Serangan AS itu dilapor sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal tangki di Selat Hormuz.

Menurut Reuters, dalam tamparan terbaru kepada perjanjian gencatan senjata yang rapuh, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berkata ia menjalankan operasi peluru berpandu dan dron bersama terhadap tapak tentera utama AS di Bandar Salman, Daerah Tentera Laut Kelima Bahrain dan Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait, dan menembak jatuh dron MQ-9 AS yang cuba mengganggu operasi terbabit.

Siren serangan udara dilapor berbunyi di Bahrain dan Kuwait, dan tentera Kuwait berkata pertahanan udara sedang menghadapi serangan peluru berpandu dan dron “bermusuhan”.

Terdahulu AS melancarkan serangan ketenteraan baharu dan membatalkan lesen yang membenarkan Iran menjual minyak sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas tiga kapal tangki di selat itu.

Menurut Reuters, Perintah Pusat AS berkata lebih 60 bot kecil IRGC adalah antara sasaran diserang semasa operasi itu, yang bertujuan untuk mengenakan kos tinggi ke atas Iran kerana serangan ke atas perkapalan yang melanggar gencatan senjata.

“Pencerobohan yang tidak wajar oleh pasukan Iran adalah pelanggaran gencatan senjata yang jelas dan berbahaya serta menjejaskan kebebasan navigasi,” kata CENTCOM dalam satu kenyataan, lapor Reuters.

Menurut Reuters, perintah tentera bersama tertinggi Iran, Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya, mengutuk serangan AS sebagai “tindakan pencerobohan yang terang-terangan” mengancam “tindak balas yang menghancurkan” dan memberi amaran bahawa Tehran tidak akan membenarkan campur tangan AS dalam pengurusan selat itu.

Seorang perunding tertinggi Iran, speaker parlimen Mohammad Baqer Qalibaf, menuduh AS melanggar perjanjian gencatan senjata, menurut Reuters, dia bukan sahaja memetik serangan tentera AS terkini, tetapi juga sekatan minyak yang diperbaharui, pelanggaran “penyesuaian” Iran di Selat Hormuz, dan serangan Israel terhadap Lubnan.

“Era buli dan pemerasan telah berakhir,” Qalibaf dilapor sebagai berkata dalam satu catatan di X. “Kami tidak akan berputus asa.”

Media Iran sebelumnya melaporkan letupan di hab minyak utama Iran di Pulau Kharg, di Pulau Qeshm dan di bandar pelabuhan selatan di Sirik dan Bandar Abbas, menurut Reuters, Press TV Iran melaporkan beberapa letupan kedengaran di selatan Pulau Kharg.

Menurut Reuters, seorang pegawai AS memberitahunya bahawa serangan menyasarkan sistem pertahanan udara Iran, sistem pengawasan pantai, peluru berpandu permukaan ke udara, peluru berpandu jelajah anti-kapal dan tapak pelancaran dron.

Tiada kematian orang awam dilaporkan di Iran, tetapi beberapa orang cedera akibat serpihan daripada “projektil musuh” yang melanda jeti komersial di Sirik, lapor Reuters memetik seorang wartawan TV kerajaan Iran. Laporan itu menurutnya, serangan turut melanda jeti perikanan di Sirik dan Bandar Abbas.

Insiden itu merupakan ancaman terbaru kepada perjanjian gencatan senjata rapuh dicapai oleh AS dan Iran bulan lalu, menghentikan konflik yang bermula dengan serangan AS dan Israel di seluruh Republik Islam itu.