Houthi dakwa 210 banduan dibebaskan selepas tawan bandar pelabuhan

Kumpulan Houthi Yaman membebaskan 210 anggotanya yang ditahan oleh pasukan kerajaan selepas menawan sebuah penjara semasa kemaraan pantas mereka di pantai Laut Merah negara itu, menurut berita Xinhua memetik seorang pegawai tentera Houthi pada Ahad.

Menurut Xinhua, pegawai itu, yang enggan namanya didedahkan, berkata pasukan Houthi menyerbu penjara kendalian kerajaan selepas menawan bandar pelabuhan strategik Laut Merah, Mocha, di wilayah barat daya Taiz pada Khamis.

“Sebelum berundur, pasukan tentera upahan mengumpulkan semua 210 banduan di sebuah dewan besar dan mengurung mereka di dalamnya,” kata pegawai Houthi itu, merujuk kepada pasukan kerajaan.

“Pejuang kami memecah masuk ke dalam premis itu dan membebaskan mereka.”

TV al-Masirah dikendalikan oleh Houthi mengesahkan ketibaan 210 banduan itu di Sanaa pada Sabtu, lapor Xinhua.

Pembebasan itu berlaku di tengah-tengah serangan besar-besaran Houthi yang dilancarkan pada 3 September di sepanjang pantai Laut Merah Yaman.
Houthi telah menawan Mocha dan Pulau Mayun serta mara ke selatan menuju wilayah Lahj, sekali gus membawa pertempuran lebih dekat ke Aden, iaitu pusat pentadbiran kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Konflik Yaman tercetus pada hujung 2014 apabila Houthi menawan Sanaa dan sebahagian besar utara Yaman, yang mendorong pakatan diketuai Arab Saudi untuk campur tangan pada tahun berikutnya bagi menyokong kerajaan diiktiraf di peringkat antarabangsa itu.