Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera selepas sebuah bangunan yang menempatkan pelajar di ibu kota India, Delhi, runtuh, lapor Reuters memetik ketua menteri pada Isnin, ketika penyelamat mencari sesiapa yang masih terperangkap di dalam runtuhan.
Bangunan itu, yang terletak di bahagian selatan bandar berhampiran kolej dan universiti, mempunyai ruang bawah tanah dan lima tingkat atas dan digunakan untuk menempatkan pelajar, Reuters memetik lapor media tempatan.
“Sudah pasti terdapat air di ruang bawah tanah bangunan itu, dan disebabkan oleh pengumpulan air, disebabkan oleh kerja pembaikan yang sedang dijalankan, bangunan lama itu runtuh,” kata Ketua Menteri Delhi, Rekha Gupta kepada pemberita, lapor Reuters.
Menurut Reuters, visual selepas runtuhan pada Ahad menunjukkan timbunan bata dan tiang konkrit yang pecah di lokasi terbabit, dengan polis, penyelamat dan penduduk tempatan mencari mangsa yang terperangkap.
Enam orang, yang dibawa ke hospital berdekatan selepas diselamatkan hidup-hidup, berada dalam keadaan stabil, kata Gupta.
Menurut Reuters, saluran televisyen melaporkan, polis sedang mencari pemilik bangunan itu.
Keruntuhan bangunan dikatakan kerap berlaku di India, terutama di kawasan kejiranan bandar yang sesak di mana pembinaan tanpa kebenaran berleluasa dan penguatkuasaan undang-undang lemah.

