Dua lelaki maut dan 16 yang lain cedera dalam kejadian berasingan membabitkan pedati perayaan tradisional di dua bandar di wilayah Osaka, barat Jepun, pada Sabtu, menurut berita Xinhua memetik polis tempatan.
Di Izumisano, seorang lelaki berusia 51 tahun terperangkap di bawah pedati yang terbalik ketika menaikinya bersama peserta lain. Dia kemudian disahkan meninggal dunia di hospital, manakala tujuh yang lain cedera.
Dalam kejadian berasingan di Izumiotsu, sebuah pedati turut terbalik, menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 48 tahun yang terperangkap di bawahnya. Sembilan orang lagi cedera, menurut Xinhua memetik polis wilayah.
Kemalangan itu dipercayai berlaku ketika “yarimawashi” iaitu acara kemuncak perayaan di mana pasukan peserta menarik pedati “danjiri” membelok di selekoh pada kelajuan tinggi, yang berisiko menyebabkan peserta di atasnya hilang keseimbangan, kata polis.

