Lima rakyat Palestin maut akibat tembakan tentera Israel di Jalur Gaza pada Ahad, termasuk seorang kanak-kanak yang meninggal dunia akibat kecederaan dialami pada Sabtu, menurut berita Xinhua memetik sumber Palestin.
Menurut Xinhua, sumber tempatan memberitahunya bahawa sebuah dron Israel melancarkan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu ke arah sebuah stesen pengecasan telefon bimbit di kawasan al-Buraq, barat Khan Younis di selatan Gaza pada petang Ahad, menyebabkan letupan kuat.
Sumber perubatan memberitahu Xinhua bahawa pasukan perubatan telah mengeluarkan mayat empat rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan itu dan merawat beberapa mangsa lain yang cedera, termasuk mereka yang cedera parah. Mangsa-mangsa telah dibawa ke Kompleks Perubatan Nasser di bandar itu.
Tentera Israel tidak mengeluarkan sebarang kenyataan segera mengenai serangan itu, menurut Xinhua.
Sumber perubatan juga mengumumkan kematian Jihad al-Ghandour, kanak-kanak berusia tujuh tahun, yang meninggal dunia akibat kecederaan dialami pada Sabtu selepas ditembak oleh tentera Israel di kem pelarian Jabalia di utara Gaza, lapor Xinhua.
Sejak gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa pada Oktober 2025, serangan Israel telah mengorbankan 1,488 orang, menjadikan jumlah keseluruhan kematian sejak Oktober 2023 mencecah 74,377 orang, menurut Xinhua memetik pihak berkuasa kesihatan berpangkalan di Gaza pada Ahad.

