Dron sasar konsulat, depot peluru AS di wilayah Kurdistan Iraq

Empat dron sarat bahan letupan ditembak jatuh pada petang Jumaat dekat konsulat AS di Erbil di wilayah separa autonomi Kurdistan Iraq, manakala serangan dron berasingan menghentam depot peluru di wilayah jiran Sulaymaniyah, menurut berita Xinhua memetik sumber keselamatan tempatan.

Menurut Xinhua, sumber keselamatan Kurdish memberitahunya, empat dron terbabit dipintas di sekitar konsulat AS di Erbil, tanpa menyebabkan sebarang kecederaan.

Di wilayah Sulaymaniyah, sebuah dron jerangkap samar menghentam sebuah gudang senjata di kawasan Tasluja di ibu kota wilayah yang sama namanya pada waktu petang, Xinhua memetik sumber terbabit.

Serangan itu dilapor mencetuskan kebakaran besar di kemudahan itu, mencetuskan letupan sekunder daripada peluru yang disimpan.

Menurut Xinhua, terdahulu pada hari itu, sumber keselamatan tempatan mengatakan sembilan ahli parti pembangkang Kurdish Iran terbunuh, dan sekurang-kurangnya tiga yang lain cedera dalam serangan peluru berpandu balistik Iran yang menyasarkan kedudukan mereka di wilayah Sulaymaniyah.