Vakum

  • Mahkamah Indonesia kurangkan hukuman penjara pengasas Gojek kepada 9 tahun dalam perbicaraan rayuan

    Sebuah mahkamah di Indonesia mengurangkan hukuman penjara pengasas Gojek dan bekas Menteri Pendidikan, Nadiem Makarim, daripada 10 tahun kepada 9 tahun dalam satu perbicaraan rayuan bagi sabitan kes rasuah berkaitan perolehan komputer riba yang tidak wajar, menurut kenyataan hakim pada Khamis, lapor Reuters.

    Nadiem dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada Jun selepas mahkamah mendapati dia bersalah menyalahgunakan kuasa semasa proses perolehan Chromebook Google untuk sekolah-sekolah di Indonesia, yang mengakibatkan kerugian negara sebanyak AS$125 juta. Dia mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Jakarta pada 1 Julai.

    Menurut Reuters, seorang hakim, Catur Iriantoro, berkata pada Khamis bahawa mereka tidak meluluskan rayuan Nadiem untuk menggugurkan semua pertuduhan kerana keputusan terdahulu adalah selaras dengan fakta ditetapkan semasa perbicaraan, bukti dikemukakan, serta keterangan saksi.

    Mahkamah juga mengurangkan jumlah bayaran ganti rugi yang perlu dibayar oleh Nadiem daripada 809 bilion rupiah (AS$45.23 juta) kepada 548 bilion rupiah, menurut seorang lagi hakim, Subachran Hardi Mulyana, lapor Reuters.

    Selepas perbicaraan itu, Nadiem melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan berkenaan dan memberitahu pemberita bahawa dia akan mengemukakan rayuan seterusnya ke Mahkamah Agung.

    “Mangsa sekarang bukan sahaja saya, malah kredibiliti sistem penguatkuasaan undang-undang di Indonesia,” katanya, seperti dilaporkan Reuters.

    Hakim-hakim juga mengekalkan keputusan terdahulu yang menyatakan bahawa Makarim telah mengubah suai syarat tender bagi memihak kepada Chrome, yang memberi manfaat kepada Google serta menyekat persaingan.

  • Pakistan kata ia lancar serangan udara ke atas Afghanistan susulan serangan dron

    Pakistan melancarkan serangan udara ke atas 10 lokasi di Afghanistan yang didakwa digunakan untuk melancarkan dan menyimpan dron, yang sesetengahnya digunakan terhadap Pakistan sehari sebelumnya, kata Menteri Penerangan Attaullah Tarar pada Khamis, menurut berita Reuters.

    Menurut Reuters, serangan itu berlaku ketika ketegangan memuncak antara kedua-dua pihak yang dahulunya sekutu tetapi kini bermusuhan, mereka telah lama berselisih faham mengenai serangan oleh militan Islamis, yang turut mencetuskan pertempuran paling hebat dalam tempoh beberapa tahun pada Februari lalu.

    Islamabad menuduh Kabul melindungi militan yang melancarkan serangan rentas sempadan, namun kerajaan Taliban Afghanistan menafikan dakwaan melindungi pemberontak anti-Pakistan dan menyatakan bahawa isu militansi adalah masalah dalaman Pakistan.

    Sistem pertahanan udara Pakistan mengesan dron yang dilancarkan dari wilayah Afghanistan pada Rabu, yang mana dikesan dan dilumpuhkan sebelum sampai ke mana-mana sasaran, kata Tarar dalam satu hantaran di X, lapor Reuters.

    Pakistan kemudian melancarkan “serangan udara dan dron berketepatan” ke atas 10 lokasi, yang “terhad kepada sasaran ketenteraan dikenal pasti” yang dikaitkan dengan cubaan serangan terbabit, dia dilapor berkata.

    Serangan udara Pakistan itu dijalankan di beberapa kawasan di wilayah Khost di bahagian tenggara, menurut Mustaghfir Gurbaz, jurucakap gabenor Khost, lapor Reuters.

    Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, katanya.

  • 9 maut bas terbakar di pinggir Delhi

    Sekurang-kurangnya sembilan penumpang maut pada awal pagi Khamis apabila bas persendirian yang bergerak membawa mereka terbakar di pinggir Delhi, menurut berita Xinhua memetik polis.

    Bas jenis ‘sleeper’ (bas dengan tempat tidur) itu terbakar lewat malam Rabu di Lebuh Raya Yamuna di Greater Noida, mencetuskan suasana panik dalam kalangan penumpang.

    Laporan menyebut bahawa beberapa penumpang bertindak melompat keluar dari bas yang sedang bergerak itu bagi menyelamatkan diri.

    “Sembilan orang, terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita, terkorban dalam kejadian tragis ini,” kata seorang pegawai polis, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, seorang pegawai kanan polis memberitahu media bahawa bas itu dalam perjalanan dari Delhi ke daerah Mahoba di Uttar Pradesh.

    Menurut pihak berkuasa, lebih 35 penumpang dilaporkan berada di dalam bas terbabit apabila ia tiba-tiba terbakar.

  • 3 maut akibat banjir di Libya

    Tiga sekeluarga maut pada Rabu selepas kereta mereka ditenggelami air banjir di Wadi Zagar, di wilayah Pergunungan Hitam (Black Mountains) Libya, menurut berita Xinhua memetik sumber media tempatan.

    Sumber itu berkata kejadian itu meragut nyawa seorang lelaki, isterinya, dan anak perempuan mereka ketika mereka melalui kawasan berkenaan.

  • Angka maut akibat Taufan Dujuan di timur Jepun meningkat kepada 9

    Angka kematian akibat Taufan Dujuan, yang melanda timur Jepun awal minggu ini, meningkat kepada sembilan orang pada Rabu, menurut berita Anadolu memetik media tempatan.

    Pihak berkuasa menemui mayat seorang wanita di prefektur Kanagawa dan seorang lelaki di dalam kenderaan yang tenggelam di prefektur Chiba, timur Tokyo, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Kyodo yang memetik pihak berkuasa tempatan.

    Operasi mencari empat orang yang masih hilang diteruskan.

    Daripada sembilan mangsa terbabit, enam orang meninggal dunia di Chiba dan tiga orang di Kanagawa.

    Taufan itu menyebabkan kerosakan teruk terutama di Chiba, selepas kawasan itu juga dilanda hujan lebat dan banjir pada Ogos dan awal September.

  • Majlis Keselamatan PBB kutuk serangan bom berani mati bawa maut di sebuah masjid di Pakistan

    Majlis Keselamatan PBB pada Selasa mengutuk serangan bom berani mati di sebuah masjid di barat laut Pakistan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain, lapor Anadolu.

    “Anggota Majlis Keselamatan mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas bom berani mati yang kejam dan pengecut di sebuah masjid di Kohat, Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan,” kata Presiden Majlis, Jerome Bonnafont dari Perancis, dalam satu kenyataan, menurut Anadolu.

    Serangan pada 18 September itu mengorbankan sekurang-kurangnya 24 rakyat Pakistan, membabitkan tujuh orang awam dan 17 anggota penguat kuasa undang-undang, serta mencederakan sekurang-kurangnya 88 yang lain.

    Satu rangkaian bersenjata yang bersekutu dengan kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) mengaku bertanggungjawab atas pengeboman itu, menurut Anadolu.

  • Angka maut akibat kapal karam di Indonesia meningkat kepada 28 orang, 107 masih hilang

    Angka kematian akibat Virgo Transport 8 yang karam di Laut Jawa, luar pantai Kalimantan Selatan, meningkat kepada 28 orang pada Rabu, dengan 107 orang masih hilang, menurut berita Xinhua memetik Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia.

    Vesel penumpang itu berlepas dari Surabaya, Jawa Timur pada 12 September menuju ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan. Ia menghadapi cuaca buruk semasa pelayaran dan terputus hubungan sekitar jam 2 pagi waktu tempatan pada 13 September.

    “Sejumlah 136 mangsa telah ditemui, termasuk 108 yang terselamat dan 28 yang meninggal dunia. Seramai 107 orang lagi masih dalam usaha pencarian,” kata ketua Basarnas, Mohammad Syafii, semasa memberikan perkembangan terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat, lapor Xinhua.

  • Beberapa rakyat Palestin maut akibat serangan Israel di Gaza

    Dua rakyat Palestin terbunuh pada Rabu apabila serangan udara Israel menyasarkan sebuah kenderaan awam di kawasan al-Mawasi, Khan Younis di selatan Gaza, menurut berita Xinhua memetik Pertahanan Awam Gaza dan penduduk tempatan.

    Menurut Xinhua, Mahmoud Basal, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, memberitahunya bahawa sebuah pesawat Israel menyasarkan kenderaan awam itu ketika ia bergerak di kawasan al-Mawasi, membunuh dua rakyat Palestin dan mencederakan beberapa orang lain.

    Penduduk tempatan dilapor berkata, serangan Israel itu melanda sebuah kenderaan awam di kawasan terbabit, sambil menambah bahawa serangan itu mengakibatkan korban mereka yang berada di dalam kenderaan itu.

    Menurut Xinhua, juga pada Rabu, pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa tentera Israel telah membunuh Mohammed Abu Alwan, ketua jabatan kewangan Hamas, dalam satu serangan di selatan Jalur Gaza.

    Dalam perkembangan berasingan, Basal dilapor berkata, seorang wanita Palestin meninggal dunia akibat kecederaan parah daripada tembakan tentera Israel di kem pelarian Bureij di tengah Gaza.

    Seorang pemuda Palestin juga meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam serangan Israel terhadap sekumpulan rakyat Palestin di Jalan al-Nasr, Bandar Gaza pada malam Selasa, lapor Xinhua memetik Basal.

  • Sekurang-kurangnya 17 terbunuh dalam serangan udara Arab Saudi di seluruh Yaman

    Kumpulan Houthi Yaman berkata pada Selasa bahawa pesawat perang Arab Saudi melancarkan 19 serangan udara di tiga wilayah Yaman dalam tempoh 24 jam lalu, manakala media kendalian Houthi melaporkan sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 11 cedera dalam serangan terbaharu itu, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, berkata dalam satu kenyataan di X bahawa serangan terbabit menyasarkan wilayah barat daya Taiz, wilayah utara Al-Jawf, dan wilayah timur laut Marib yang kaya dengan sumber minyak.

    Sarea berkata pesawat pejuang F-15 dan Typhoon milik Arab Saudi yang beroperasi dari pangkalan udara di Khamis Mushait dan Taif telah melancarkan serangan terbabit, mengakibatkan kematian dan kecederaan.

    Dia menambah bahawa serangan terbaharu itu menjadikan jumlah serangan udara dan peluru berpandu Arab Saudi yang dilaporkan oleh Houthi sejak peningkatan ketegangan semasa bermula mencecah 936, sambil memberi amaran bahawa Arab Saudi akan berdepan dengan akibat yang “buruk”.

    Bagaimanapun Xinhua melaporkan, angka-angka terbabit tidak dapat disahkan secara bebas.

    Menurut Xinhua, dalam perkembangan berasingan, media kendalian Houthi dan para pegawai berkata serangan dari malam Isnin hingga Selasa telah mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang dan mencederakan 11 yang lain.

    Abdul Qader al-Murtada, ketua jawatankuasa hal ehwal tahanan Houthi, dilapor berkata dalam satu kenyataan di X bahawa sembilan tahanan terbunuh apabila serangan udara Arab Saudi melanda sebuah penjara di Al-Hazm, ibu kota wilayah Al-Jawf, pada malam Isnin.

    Dalam satu lagi kejadian di Al-Jawf, saluran TV al-Masirah kendalian Houthi melaporkan bahawa seorang wanita dan anaknya terbunuh dalam serangan udara Arab Saudi, manakala suami serta dua lagi ahli keluarga wanita itu cedera.

    Menurut Xinhua, terdahulu pada Selasa, al-Masirah melaporkan tiga serangan udara Arab Saudi melanda sebuah rumah kediaman di bandar pelabuhan strategik Laut Merah, Mocha di Taiz, mengorbankan enam orang termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, serta mencederakan lapan yang lain.

  • Penyanyi Brazil dan 4 yang lain maut dalam nahas helikopter

    Lima orang, termasuk penyanyi Brazil Rick Sollo daripada duo muzik sertanejo Rick & Renner, ditemui mati pada Selasa selepas helikopter mereka terhempas di kawasan pergunungan negeri Santa Catarina di selatan Brazil, menurut berita Xinhua memetik pihak bomba.

    Helikopter itu dilaporkan hilang pada Isnin selepas berlepas dari Porto Belo di pantai utara negeri itu menuju ke Sao Joaquim, di mana cuaca buruk dan ribut petir diramalkan.

    Turut berada di dalam helikopter itu ialah ahli perniagaan Bruno Avelar, jurukamera Paulo Soares, serta juruterbang dan pembantu juruterbang.

    Serpihan helikopter ditemui pada Selasa semasa operasi mencari membabitkan kira-kira 40 anggota bomba, lebih 10 kenderaan dan dron, dua anjing pengesan, serta sebuah pesawat, di tengah-tengah keadaan berkabus.

    Menurut Xinhua, agensi penerbangan awam Brazil berkata pesawat itu, model Bell 430 keluaran tahun 2001, mempunyai kebenaran untuk beroperasi.

    Rick & Renner merupakan salah satu duo muzik sertanejo paling terkenal di Brazil dengan kerjaya yang bermula sejak 1980-an.