Vakum

  • Beberapa terbunuh dalam serangan lelaki bersenjata di Ethiopia

    Lelaki-lelaki bersenjata membunuh beberapa anggota polis dan kakitangan keselamatan di selatan Ethiopia, pihak berkuasa tempatan mengesahkan, lapor berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, Suruhanjaya Polis Negeri Wilayah Ethiopia Selatan, dalam satu kenyataan takziah pada Khamis, menyatakan bahawa anggota polis dan kakitangan keselamatan terbabit terbunuh dalam satu “serangan mengejut” oleh lelaki-lelaki bersenjata di daerah Geresse Zuria, yang terletak di Zon Gamo, wilayah selatan Ethiopia.

    Kakitangan keselamatan terbabit diserang hendap ketika menjalankan tugas.

    Bagaimanapun, suruhanjaya itu tidak mendedahkan butiran khusus mengenai keadaan sebenar serangan maut itu, lapor Xinhua, pihak polis juga tidak memberikan perincian lanjut mengenai identiti individu disyaki terbabit atau jumlah sebenar korban, namun ia berkongsi gambar sembilan anggota polis dan kakitangan keselamatan yang menjadi mangsa serangan itu.

  • Angka maut akibat virus West Nile di Belanda meningkat kepada 9 orang

    Jumlah kematian akibat virus West Nile di Belanda pada tahun ini meningkat kepada sembilan orang, menurut Institut Kebangsaan bagi Kesihatan Awam dan Alam Sekitar (RIVM) Belanda pada Khamis, lapor berita Anadolu.

    Jumlah keseluruhan kes telah mencecah 56 kes.

    Menurut Anadolu, RIVM berkata 12 kes tambahan telah dikenal pasti dan empat lagi kematian telah direkodkan sejak kemas kini terakhirnya pada 24 September.

    Daripada kes-kes yang dilaporkan, 32 kes direkodkan di South Holland, 12 di Utrecht, lima di North Holland, empat di North Brabant, dua di Gelderland dan satu di Overijssel.

    Tiada kes dilaporkan di Belanda pada tahun lalu.

    Virus itu dikesan pada 14 kuda dan tujuh burung tambahan pada minggu lalu, menjadikan jumlah kuda yang dijangkiti tahun ini sebanyak 150 dan burung yang dijangkiti sebanyak 178.

  • Angka maut meningkat kepada 15 orang susulan kejadian runtuhan salji di kem pangkalan Gunung Himlung, Nepal

    Pasukan mencari dan menyelamat menemui lapan lagi mayat di lokasi runtuhan salji di kem pangkalan Gunung Himlung, daerah Manang, Nepal pada Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan kematian seramai 15 orang, menurut berita Xinhua memetik seorang pegawai.

    “Daripada 16 orang yang dilaporkan hilang dalam bencana itu, 15 mayat telah ditemui setakat Khamis. Walaupun semua barang milik individu terakhir yang hilang itu telah ditemui, dia masih belum ditemukan,” kata Krishna Prasad Paudel, penolong ketua pegawai daerah, kepada Xinhua.

    Semua 16 individu terbabit, termasuk jurupandu gunung dan kakitangan dapur daripada dua syarikat ekspedisi, berada di kem pangkalan puncak setinggi 7,126 meter itu untuk menyediakan tapak perkhemahan dan memasang tali apabila kejadian runtuhan salji berlaku pada awal pagi Ahad.

    Paudel berkata, operasi mencari individu terakhir yang hilang itu akan diteruskan pada Jumaat.

  • Dron Rusia serang Jambatan Selatan di Kiev

    Dron yang dilancarkan oleh Rusia menyerang Jambatan Selatan dalam satu serangan ke atas ibu negara Ukraine pada Khamis, menurut berita Xinhua memetik Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko.

    Menurut Xinhua, Klitschko menerusi satu hantaran di Telegram menyatakan dua buah dron telah menghentam kawasan dekat bahagian struktur sokongan jambatan berkenaan.

    Dilaporkan, pemeriksaan awal mendapati tiada kerosakan kritikal pada struktur jambatan berkenaan.

    Jambatan Selatan, yang menampung trafik jalan raya dan metro, merupakan satu daripada laluan pengangkutan utama di ibu negara itu, yang menghubungkan bahagian timur dan barat bandar.

  • Pasukan kerajaan Yaman dakwa 30 anggota Houthi terbunuh dalam pertempuran sengit di Taiz

    Pasukan kerajaan Yaman pada Khamis berkata 30 pejuang Houthi terbunuh dan 50 lagi cedera dalam pertempuran sengit di wilayah barat daya di Taiz, menurut berita Xinhua.

    Xinhua melaporkan, saluran televisyen pro-kerajaan, Aljoumhouriya, memetik kenyataan tentera sebagai berkata anggota Houthi terbabit terbunuh atau cedera semasa pertempuran di kawasan Al-Aqroud, daerah Al-Misrakh di selatan Taiz.

    Menurut Xinhua, seorang pegawai tentera Yaman memberitahunya, pertempuran sengit telah berlaku sejak awal Khamis di lima barisan hadapan di Taiz, dengan kedua-dua pasukan kerajaan dan kumpulan Houthi mengalami kerugian besar.

    Pegawai itu, yang enggan namanya didedahkan, dilapor berkata pertempuran membabitkan berbalas artileri bertubi-tubi dan serangan dron.

    Dia menambah bahawa pesawat perang Arab Saudi telah melancarkan beberapa serangan udara terhadap kedudukan dikuasai Houthi di Taiz pada siang hari, sementara pasukan kerajaan mempergiatkan operasi darat dan menggerakkan pasukan tambahan untuk memperkukuh beberapa barisan hadapan yang aktif.

  • 2 maut, 2 cedera selepas helikopter pemindahan perubatan terhempas di California Selatan

    Dua orang maut dan dua lagi cedera selepas sebuah helikopter pemindahan perubatan terhempas ke dalam perairan dekat Pulau Catalina di California Selatan pada malam Rabu, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa.

    Pegawai bomba menerima laporan mengenai nahas itu pada jam 7:53 malam waktu tempatan (0253 GMT Khamis).

    “Dua daripada mangsa yang ditemui telah dibawa ke hospital di tanah besar, manakala dua lagi mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” kata jabatan bomba itu, lapor Xinhua.

    Dilaporkan, operasi mencari dan menyelamat dijalankan bagi mengesan mangsa kelima yang dilaporkan berada di dalam pesawat terbabit.

  • 3 maut, 2 cedera dalam kejadian runtuhan lombong di Bolivia

    Tiga pelombong maut dan dua lagi cedera dalam kejadian runtuhan lombong di barat daya Bolivia, menurut berita Xinhua memetik kenyataan polis pada Rabu.

    Kemalangan itu berlaku lewat Selasa di lombong Mejora, dikendalikan oleh koperatif perlombongan 9 de Abril di Cerro Rico, wilayah Potosi, kata komander polis wilayah, Franklin Roger Villazon.

    Tiga pelombong yang maut itu berusia antara 24 hingga 26 tahun. Polis dilapor berkata satu pelantar di dalam lombong berkenaan runtuh sepanjang kira-kira 100 meter.

    Cerro Rico telah menjadi lokasi perlombongan perak dan mineral lain sejak abad ke-16, dengan aktiviti perlombongan masih diteruskan sehingga ke hari ini.

  • 6 dilapor cedera kemalangan jalan raya di Vladivostok, Rusia

    Satu kemalangan jalan raya berlaku di Vladivostok, Rusia, menyebabkan enam orang cedera, menurut berita Xinhua memetik laporan media pada Khamis.

  • 6 maut, 4 cedera dalam kemalangan lebuh raya di tengah China

    Enam orang maut dan empat lagi cedera dalam kemalangan di lebuh raya di bandar Huaihua, wilayah Hunan, tengah China, pada awal pagi Khamis, menurut berita Xinhua memetik polis trafik tempatan.

    Kemalangan itu berlaku pada kira-kira jam 2:07 pagi di bahagian Huaihua lebuh raya Shanghai-Kunming, menurut Xinhua memetik kenyataan polis lebuh raya wilayah itu.

    Sebuah trak separa treler berat yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 57 tahun dalam perjalanan dari arah timur ke barat apabila ia bergesel dengan sebuah kereta, lalu melanggar sebuah lagi kereta di hadapannya. Trak itu hilang kawalan dan menolak sebuah kereta ketiga ke hadapan, menyebabkan kebakaran, menurut siasatan awal.

    Kemalangan itu mengakibatkan enam orang maut dan empat cedera, serta menyebabkan kerosakan pada empat buah kenderaan pada tahap yang berbeza-beza.

  • Bilionair Zimbabwe, Wicknell Chivayo, dan isterinya maut dalam nahas helikopter

    Bilionair Zimbabwe, Wicknell Chivayo, dan isterinya, Lucy Muteke, meninggal dunia selepas helikopter persendirian yang mereka naiki terhempas di timur Zimbabwe pada Rabu, menurut berita Anadolu.

    Jurucakap keluarga, Herbert Chivayo, berkata pasangan itu dalam perjalanan bersama empat yang lain apabila helikopter terbabit terhempas di Marondera, ibu kota wilayah Mashonaland East, di sebelah timur ibu negara Harare.

    “Kami kehilangan kata-kata selepas menerima berita tragis ini,” katanya kepada Zimbabwe Broadcasting Corporation (ZBC), lapor Anadolu.

    Menurut Anadolu, terdahulu, jurucakap kerajaan, Nick Mangwana, mengesahkan nahas itu dan mengatakan helikopter terbabit membawa “seorang ahli perniagaan terkemuka, tiga penumpang lain, dan dua juruterbang”.

    “Maklumat terkini menunjukkan tiada mangsa yang terselamat dalam nahas ini. Kami mengucapkan takziah dan doa kepada mangsa, keluarga, serta rakan-rakan mereka pada saat yang sukar ini,” Mangwana dilapor sebagai berkata menerusi X.

    Jurucakap polis Zimbabwe, Paul Nyathi, turut mengesahkan nahas itu dan mengatakan terdapat enam orang di dalam helikopter terbabit, lapor Anadolu.

    Chivayo, 42, adalah ahli perniagaan terkemuka yang dikenali dengan gaya hidup mewahnya. Dia juga mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Emmerson Mnangagwa serta parti pemerintah, Zimbabwe African National Union-Patriotic Front (ZANU-PF).