Bilionair Zimbabwe, Wicknell Chivayo, dan isterinya maut dalam nahas helikopter

Bilionair Zimbabwe, Wicknell Chivayo, dan isterinya, Lucy Muteke, meninggal dunia selepas helikopter persendirian yang mereka naiki terhempas di timur Zimbabwe pada Rabu, menurut berita Anadolu.

Jurucakap keluarga, Herbert Chivayo, berkata pasangan itu dalam perjalanan bersama empat yang lain apabila helikopter terbabit terhempas di Marondera, ibu kota wilayah Mashonaland East, di sebelah timur ibu negara Harare.

“Kami kehilangan kata-kata selepas menerima berita tragis ini,” katanya kepada Zimbabwe Broadcasting Corporation (ZBC), lapor Anadolu.

Menurut Anadolu, terdahulu, jurucakap kerajaan, Nick Mangwana, mengesahkan nahas itu dan mengatakan helikopter terbabit membawa “seorang ahli perniagaan terkemuka, tiga penumpang lain, dan dua juruterbang”.

“Maklumat terkini menunjukkan tiada mangsa yang terselamat dalam nahas ini. Kami mengucapkan takziah dan doa kepada mangsa, keluarga, serta rakan-rakan mereka pada saat yang sukar ini,” Mangwana dilapor sebagai berkata menerusi X.

Jurucakap polis Zimbabwe, Paul Nyathi, turut mengesahkan nahas itu dan mengatakan terdapat enam orang di dalam helikopter terbabit, lapor Anadolu.

Chivayo, 42, adalah ahli perniagaan terkemuka yang dikenali dengan gaya hidup mewahnya. Dia juga mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Emmerson Mnangagwa serta parti pemerintah, Zimbabwe African National Union-Patriotic Front (ZANU-PF).