3 maut, 2 cedera dalam kejadian runtuhan lombong di Bolivia

Tiga pelombong maut dan dua lagi cedera dalam kejadian runtuhan lombong di barat daya Bolivia, menurut berita Xinhua memetik kenyataan polis pada Rabu.

Kemalangan itu berlaku lewat Selasa di lombong Mejora, dikendalikan oleh koperatif perlombongan 9 de Abril di Cerro Rico, wilayah Potosi, kata komander polis wilayah, Franklin Roger Villazon.

Tiga pelombong yang maut itu berusia antara 24 hingga 26 tahun. Polis dilapor berkata satu pelantar di dalam lombong berkenaan runtuh sepanjang kira-kira 100 meter.

Cerro Rico telah menjadi lokasi perlombongan perak dan mineral lain sejak abad ke-16, dengan aktiviti perlombongan masih diteruskan sehingga ke hari ini.