Penyaman Udara

  • 1 rakyat Palestin maut, 2 cedera akibat tembakan tentera Israel di Tebing Barat

    Seorang rakyat Palestin terbunuh dan dua lagi cedera pada Isnin akibat tembakan tentera Israel selepas kenderaan mereka ditembak dekat pintu masuk pekan Bani Naim, di selatan Hebron, Tebing Barat, menurut berita Xinhua memetik sumber Palestin.

    Pihak Berkuasa Umum Hal Ehwal Awam Palestin dilaporkan berkata dalam kenyataan ringkas bahawa mereka yang cedera dipindahkan ke hospital di dalam Israel untuk rawatan. Identiti mangsa yang terbunuh dan cedera masih belum diketahui.

    Menurut Xinhua, terdahulu, tentera Israel berkata dalam kenyataan bahawa “susulan laporan yang diterima mengenai cubaan serangan rempuh di kawasan Bani Naim, askar IDF (Pasukan Pertahanan Israel) yang bertugas di kawasan itu mengesan sebuah kenderaan membawa tiga suspek yang dipandu dalam keadaan mencurigakan. Kenderaan itu kemudian memecut ke arah kenderaan IDF dan melanggarnya.”

    Askar dilapor bertindak balas dengan melepaskan tembakan ke arah kenderaan terbabit.

  • Dua maut dalam kejadian tembakan di pesta kejiranan di AS

    Dua orang maut dan 35 lagi cedera dalam satu kejadian tembakan di pesta kejiranan di negeri Georgia, Amerika Syarikat (AS), pada awal pagi Ahad, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

    Kejadian tembakan itu berlaku sekitar jam 1:25 pagi (0525 GMT) di bandar Vienna, selatan Georgia, Biro Penyiasatan Negeri berkata dalam satu kenyataan, menurut Xinhua.

    Dua lelaki, masing-masing berusia 21 dan 23 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, kata Syerif Daerah Craig Peavy, sambil menambah bahawa mereka yang cedera telah dikejarkan ke hospital di kawasan sekitar.

    Lebih 1,000 orang telah berkumpul untuk pesta itu apabila sekurang-kurangnya 50 das tembakan dilepaskan, kata Peavy, sambil menyatakan kebanyakan mangsa cedera akibat tembakan, manakala yang lain pula dilanggar kenderaan ketika orang ramai cuba melarikan diri dari lokasi kejadian.

    Pihak berkuasa masih belum mengenal pasti mana-mana suspek atau menentukan motif tembakan itu.

  • Afghanistan rasmi jalan Koridor Wakhan menghubungkan negara itu dengan China

    Afghanistan pada Ahad secara rasmi membuka jalan yang menghubungkan negara itu dengan China melalui Koridor Wakhan di wilayah timur laut Badakhshan, lapor berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, yang memetik Tolo News, pembinaan jalan tanpa turapan sepanjang 121 kilometer (75 batu) itu bermula dua tahun lalu. Jalan itu menghubungkan Afghanistan dengan wilayah Xinjiang di China.

    Koridor Wakhan merupakan jalur sempit wilayah Afghanistan di wilayah Badakhshan yang memisahkan Tajikistan dari wilayah Gilgit-Baltistan di Pakistan.

    Kos pembinaan jalan itu adalah sebanyak 365 juta afghani (AS$5.5 juta).

    Berucap pada majlis perasmian itu, Menteri Pemulihan dan Pembangunan Luar Bandar, Abdul Latif Mansour, berkata jalan itu mempunyai kepentingan strategik, politik, dan ekonomi bagi Afghanistan.

    Kabul telah “mengutamakan projek awam seumpama itu, terutama di wilayah-wilayah yang sangat memerlukannya. Tiada jurutera atau penasihat asing; semua jurutera adalah rakyat Afghanistan,” katanya, seperti dilaporkan.

  • Dua maut, seorang parah tembakan di Norway

    Dua orang maut dan seorang lagi cedera parah dalam satu kejadian tembakan di Halden, tenggara Norway, pada pagi Ahad, menurut polis tempatan, lapor berita Xinhua.

    Tembakan itu berlaku sekitar jam 7:30 pagi (0530 GMT) di kawasan berhutan di sebelah timur Halden. Ketiga-tiga mangsa merupakan anggota kumpulan pemburu yang sama, kata komander insiden polis, Wilhelm Bjolseth, lapor Xinhua memetik agensi berita Norway, NTB.

    Seorang suspek lelaki telah ditahan oleh saksi dan diserahkan kepada polis sebaik sahaja pegawai tiba di lokasi. Polis menyatakan bahawa maklumat awal menunjukkan suspek bukan ahli daripada kumpulan pemburu terbabit dan tiada pelaku lain disyaki terbabit.

  • 2 maut, 1 hilang selepas hujan lebat landa Catalonia, Sepanyol

    Dua orang maut dan seorang lagi hilang selepas hujan lebat serta banjir melanda wilayah Catalonia di timur laut Sepanyol, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa pada Ahad.

    Di Tordera, kawasan Costa Brava, seorang lelaki maut selepas dihempap ​​tembok yang runtuh ketika mengeluarkan air dari rumah banglonya di tapak perkhemahan, kata Salvador Illa, presiden Generalitat (kerajaan wilayah Catalonia).

    “Malangnya, kami terpaksa melaporkan satu kematian di Tordera,” kata Illa, sambil menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mematuhi arahan rasmi memandangkan keadaan cuaca buruk masih berterusan, lapor Xinhua.

    Seorang lagi individu meninggal dunia di Montornes del Valles, manakala pasukan kecemasan sedang mencari seorang individu yang dilaporkan hilang di Pineda de Mar, kira-kira 52 km di utara Barcelona, ​​menurut pihak bomba, lapor Xinhua.

    Pihak berkuasa Catalonia mengeluarkan amaran cuaca tahap merah dan menggesa orang ramai supaya kekal berada di dalam rumah dari petang Sabtu hingga petang Ahad, susulan ramalan hujan lebat.

  • Kematian 7 pelombong di Filipina mungkin akibat keracunan gas

    Kematian sekurang-kurangnya tujuh pelombong di Filipina awal minggu ini berkemungkinan berpunca daripada keracunan gas, menurut kenyataan polis pada Jumaat, sementara siasatan terhadap insiden maut itu masih dijalankan, lapor berita Anadolu.

    Memetik laporan akhbar harian Manila Times, Anadolu melaporkan, semua pelombong terbabit meninggal dunia pada malam Rabu di dalam sebuah terowong perlombongan kecil di Benguet, yang terletak di pulau Luzon di bahagian utara.

    Mayat mangsa, yang dilaporkan berusia antara 18 hingga 62 tahun, telah ditemui pada Khamis kira-kira 20 meter (66 kaki) dari pintu masuk terowong terbabit.

    Pihak polis tidak menyatakan jenis gas yang terbabit dan memaklumkan punca gas itu masih belum dikenal pasti.

    Menurut Anadolu, laporan itu turut menyebut ahli keluarga mangsa percaya kematian berlaku akibat kemalangan.

  • Beberapa terbunuh dalam serangan lelaki bersenjata di Ethiopia

    Lelaki-lelaki bersenjata membunuh beberapa anggota polis dan kakitangan keselamatan di selatan Ethiopia, pihak berkuasa tempatan mengesahkan, lapor berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, Suruhanjaya Polis Negeri Wilayah Ethiopia Selatan, dalam satu kenyataan takziah pada Khamis, menyatakan bahawa anggota polis dan kakitangan keselamatan terbabit terbunuh dalam satu “serangan mengejut” oleh lelaki-lelaki bersenjata di daerah Geresse Zuria, yang terletak di Zon Gamo, wilayah selatan Ethiopia.

    Kakitangan keselamatan terbabit diserang hendap ketika menjalankan tugas.

    Bagaimanapun, suruhanjaya itu tidak mendedahkan butiran khusus mengenai keadaan sebenar serangan maut itu, lapor Xinhua, pihak polis juga tidak memberikan perincian lanjut mengenai identiti individu disyaki terbabit atau jumlah sebenar korban, namun ia berkongsi gambar sembilan anggota polis dan kakitangan keselamatan yang menjadi mangsa serangan itu.

  • Angka maut akibat virus West Nile di Belanda meningkat kepada 9 orang

    Jumlah kematian akibat virus West Nile di Belanda pada tahun ini meningkat kepada sembilan orang, menurut Institut Kebangsaan bagi Kesihatan Awam dan Alam Sekitar (RIVM) Belanda pada Khamis, lapor berita Anadolu.

    Jumlah keseluruhan kes telah mencecah 56 kes.

    Menurut Anadolu, RIVM berkata 12 kes tambahan telah dikenal pasti dan empat lagi kematian telah direkodkan sejak kemas kini terakhirnya pada 24 September.

    Daripada kes-kes yang dilaporkan, 32 kes direkodkan di South Holland, 12 di Utrecht, lima di North Holland, empat di North Brabant, dua di Gelderland dan satu di Overijssel.

    Tiada kes dilaporkan di Belanda pada tahun lalu.

    Virus itu dikesan pada 14 kuda dan tujuh burung tambahan pada minggu lalu, menjadikan jumlah kuda yang dijangkiti tahun ini sebanyak 150 dan burung yang dijangkiti sebanyak 178.

  • Angka maut meningkat kepada 15 orang susulan kejadian runtuhan salji di kem pangkalan Gunung Himlung, Nepal

    Pasukan mencari dan menyelamat menemui lapan lagi mayat di lokasi runtuhan salji di kem pangkalan Gunung Himlung, daerah Manang, Nepal pada Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan kematian seramai 15 orang, menurut berita Xinhua memetik seorang pegawai.

    “Daripada 16 orang yang dilaporkan hilang dalam bencana itu, 15 mayat telah ditemui setakat Khamis. Walaupun semua barang milik individu terakhir yang hilang itu telah ditemui, dia masih belum ditemukan,” kata Krishna Prasad Paudel, penolong ketua pegawai daerah, kepada Xinhua.

    Semua 16 individu terbabit, termasuk jurupandu gunung dan kakitangan dapur daripada dua syarikat ekspedisi, berada di kem pangkalan puncak setinggi 7,126 meter itu untuk menyediakan tapak perkhemahan dan memasang tali apabila kejadian runtuhan salji berlaku pada awal pagi Ahad.

    Paudel berkata, operasi mencari individu terakhir yang hilang itu akan diteruskan pada Jumaat.

  • Dron Rusia serang Jambatan Selatan di Kiev

    Dron yang dilancarkan oleh Rusia menyerang Jambatan Selatan dalam satu serangan ke atas ibu negara Ukraine pada Khamis, menurut berita Xinhua memetik Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko.

    Menurut Xinhua, Klitschko menerusi satu hantaran di Telegram menyatakan dua buah dron telah menghentam kawasan dekat bahagian struktur sokongan jambatan berkenaan.

    Dilaporkan, pemeriksaan awal mendapati tiada kerosakan kritikal pada struktur jambatan berkenaan.

    Jambatan Selatan, yang menampung trafik jalan raya dan metro, merupakan satu daripada laluan pengangkutan utama di ibu negara itu, yang menghubungkan bahagian timur dan barat bandar.